Bukan Kami Anjur Cabutan Bertuah Krismas, Tahun Baru, Kata Warisan

Presiden Warisan Shafie Apdal merasmikan penubuhan cawangan parti itu di Kalatuan, semalam.

KIMANIS: Warisan menafikan menganjurkan majlis sambutan Krismas dan Tahun Baru di pekan Membakut dekat sini yang menyaksikan hadiah cabutan bertuah diberikan kepada pengunjung pada hari sama dengan penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) Kimanis Sabtu.

Presiden parti itu, Shafie Apdal berkata, beliau tiada masalah sekiranya parti pesaing, Umno, mahu membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Bagaimanapun katanya, beliau bersimpati dengan pihak penganjur yang berasa bersalah kerana memilih tarikh yang salah untuk mengadakan acara sambutan itu.

“Terserah kepada mereka (untuk buat laporan). Kita juga boleh buat laporan. Tetapi acara itu dianjurkan pihak tertentu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penubuhan Warisan cawangan Kalatuan di sini, hari ini.

Shafie sebaliknya menasihatkan Umno supaya tidak mudah membuat dakwaan kerana mereka kini bersaing dalam pilihan raya an parti itu perlu memberi tumpuan mengatur kempen mereka.

Beliau berkata, Umno sudah tentu tidak mahu menimbulkan isu agama di Sabah.

Terdahulu naib presiden Warisan, Peter Anthony menjelaskan bahawa acara sambutan Krismas dan Tahun baru di pekan Membakut itu dianjurkan oleh masyarakat setempat di situ.

Katanya, kumpulan penganut Kristian tempatan mengutip dana untuk acara sambutan itu dengan menjemput ketua menteri sebagai tetamu kehormat.

Beliau berkata, langkah penganjur memberi hadiah cabutan bertuah adalah perkara biasa dan selalu diadakan dalam banyak majlis keraian di Sabah, termasuk pesta menuai pada pertengahan tahun.

Anthony berkata, tidak ada sesiapa pun dihalang daripada menyertai acara sambutan itu, termasuk ahli Umno jika mahu menghadirinya.

Katanya, beliau juga mendapat maklumat bahawa 2 hari lepas Umno memasuki Kampung Pimping dekat sini dan memberi sumbangan RM200 kepada penduduk.

Beliau berkata, insiden itu mungkin perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam pada itu, seorang pemimpin yang mendakwa merupakan penganjur acara itu menyindir Umno supaya tidak menghina tradisi penganut agama Kristian tempatan.

Peter Chang berkata, sambutan itu bukan satu acara politik, tetapi merupakan usaha bersama penduduk di Membakut.

Chang berkata, ia juga bertujuan mengucapkan terima kasih kepada ketua menteri kerana menambah cuti Krismas kepada 2 hari, iaitu 24 dan 25 Dis.

“Acara itu bukan anjuran Warisan maupun persatuan KDM Malaysia yang dipimpin oleh Anthony. Sebaliknya ia adalah usaha bersama komuniti penganut Kristian di Membakut,” katanya.

Portal Umno-online yang memetik timbalan presiden parti itu Mohamad Hasan berkata, Umno akan membuat laporan berkaitan cabutan bertuah pada majlis berkenaan yang berkebetulan dengan PRK Kimanis.

Ia berkata, insiden itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap undang-undang pilhan raya.

Sumber: FMT

407