KDM Faham Apa Itu PSS, Yang Tidak Faham Pemimpin & Penyokong BN

MEMBAKUT: Jika ada pihak yang yang masih tidak memahami apa itu Pas Sementara Sabah (PSS) atau sengaja tidak mahu memahaminya, mereka adalah pemimpin Barisan Nasional (BN) dan penyokong tegar parti itu.

Sebab itulah isu PSS menjadi modal kepada BN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis ini kerana menganggap mereka dapat mempengaruhi masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) yang didakwa sensitif dengan isu tersebut.

Bagaimanapun, Presiden KDM Malaysia, Datuk Peter Anthony berkata, apa yang berlaku sebenarnya kaum KDM meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk melaksakannya dan mereka juga tahu PSS bukan untuk memberi kerakyatan.

“Setakat ini tiada masalah, saya rasa orang KDM akan menerimanya kerana itu adalah satu penyelesaian yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit seperti PATI, itu cuma cadangan dan belum dilaksanakan, masih ada penambahbaikan yang akan diperkenalkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2020 anjuran KDM Malaysia semalam.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, penerangan secara terperinci akan tetap dilakukan agar semua masyarakat KDM di Kimanis mendapat maklumat yang lebih banyak tentang PSS dan tidak lagi terpengaruh dengan apa sahaja dakyah pembangkang.

Jelasnya, rakyat memang ada menyuarakan kebimbangan PSS akan menjadi dokumen kerakyatan sebab itulah pihak berkuasa telah menjelaskan banyak kali bahawa pemegang kad itu adalah warga asing yang tidak layak menjadi warganegara.

Dalam sidang akhbar berlainan selepas itu, Peter turut berkata, pembangkang sebenarnya tersilap apabila memikirkan PSS adalah isu utama untuk dimainkan agar mereka mampu meraih undi dalam PRK Kimanis.

“Jadi kalau ada daripada pihak pembangkang yang cuba memesongkan fakta konon untuk menggunakan isu PSS ini untuk melobi, merayu undi ini jangan silaplah.

“Kebanyakkan atau pun rata-rata daripada masyarakat kita di Kimanis khasnya di Sabah tahu ini adalah mainan politik, daripada kita tidak melakukan sesuatu adalah lebih baik kita melakukan sesuatu untuk kebaikan negeri kita, negara kita,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *