UMNO Diingatkan Jangan Kaitkan Sambutan Krismas Dengan Politik

Toleransi antara agama di Sabah dapat dilihat apabila Masjid Cahaya Iman Membakut terletak hanya bersebelahan dengan Gereja Membakut.

KIMANIS: Seorang pemimpin masyarakat Kadazan Dusun dan Murut (KDM) tampil menepis tuduhan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang mengaitkan Sambutan Krismas dan Tahun Baru 2020 anjuran penduduk Kristian di Membakut semalam sebagai program politik.

Peter Chang yang merupakan pengerusi penganjur program itu dan mewakili Gereja Membakut berkata, program itu adalah hasil gotong-royong penduduk kampung yang turut membuat kutipan sehinggalah sambutan tersebut berjaya dijayakan.

Menurut beliau bagi menghargai langkah Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang memberikan cuti Krismas dua hari di negeri ini, maka beliau dijemput sebagai tetamu kehormat di program tersebut.

“Majlis Krismas dan sambutan tahun baharu yang dianjurkan di Membakut semalam bukanlah anjuran Parti Warisan Sabah (Warisan) atau pun KDM Malaysia, ia adalah anjuran masyarakat Membakut yang beragama Kristian.

“Kesemua perbelanjaan dan pengurusan dalam majlis tersebut juga ditanggung oleh orang kampung yang bergotong-royong termasuk kerjasama tabung bersama (patak-patak), Ketua Menteri dijemput atas kapasiti beliau sebagai Ketua Menteri.

“Dalam keramaian ini sesiapa juga dijemput secara terbuka termasuk parti pembangkang, dalam majlis itu ada juga ahli Umno dan BN yang hadir,” katanya.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan seperti dilaporkan portal Umno Online hari ini berkata pihaknya akan membuat laporan terhadap dakwaan cabutan bertuah berupa motosikal dan pelbagai barangan lain yang diadakan sempena sambutan Krismas berkenaan.

Beliau berkata, program Krismas itu bertentangan dengan Akta Pilihan Raya.

Sementara itu Chang mengingatkan pemimpin Umno dan BN agar jangan sesekali menghina rakyat Sabah yang telah lama hidup bersatu padu dan bersama-sama meraikan hari keramaian pelbagai kaum yang ada di negeri ini.

Tegasnya orang Sabah sentiasa bersama dalam meraikan sesuatu majlis keramaian tanpa ada batasan politik tetapi Umno dan BN pula hanya datang untuk mengeluarkan tuduhan membabi buta.

SabahNewToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *