JAKARTA: Indonesia meningkatkan rondaan laut dan udara di wilayah kepulauan berhampiran Laut China Selatan yang dipertikaikan, kata seorang pegawai, hari ini, susulan pertikaian diplomatik disebabkan pencerobohan kapal China.
Pesawat tentera dan tiga kapal perang dengan kira-kira 600 anggota tentera laut, darat dan udara dikerahkan ke perairan di sekitar kepulauan Natuna yang bersempadan dengan Laut China Selatan.
“Pencerobohan kapal asing di wilayah zon ekonomi eksklusif Indonesia adalah ancaman terhadap kedaulatan Indonesia,” menurut kenyataan komander pertahanan, Naib Laksamana Yudo Margono.
Tindakan itu diambil, selepas Indonesia memanggil Duta Besar China, minggu ini, dan membuat “bantahan tegas” terhadap tindakan kapal pengawal pantai China yang mengiringi bot nelayan negara itu ke sekitar pulau terbabit, pertengahan Disember lalu.
Beijing menegaskan bahawa ia mempunyai “hak bersejarah” di rantau itu dan bot nelayan menjalankan aktiviti yang “sah dan munasabah”. – AFP