PAS Yakin BN Menang PRK Kimanis

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

MARANG: PAS yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kimanis berdasarkan situasi politik semasa, selain perubahan sokongan pengundi berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang, berkata kerjasama parti itu dengan UMNO dalam Muafakat Nasional sudah menunjukkan kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, dan yakin momentum itu akan berterusan pada PRK Kimanis.

“Sekarang nampak kerjasama PAS dan UMNO semakin berhasil dan Alhamdulillah, kita sudah capai beberapa kejayaan. Selepas ini, kita tunggu kemenangan di Sabah (PRK Kimanis) pula.

“Kita yakin BN boleh menang melihatkan kepada peratusan pengundi. Pada PRU-14, berlaku protes apabila pengundi tidak mahu mengundi BN, selain banyak berlaku undi rosak. Dengan situasi politik semasa, sikap pengundi sudah berubah. Justeru, kita yakin BN boleh menang,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila, di sini, hari ini.

Beliau berkata PAS sudah menggerakkan jenteranya di Sabah dan Sarawak, untuk membantu kempen yang bermula hari ini.

Katanya, memperkasakan hak Bumiputera adalah antara agenda yang akan diketengahkan ketika kempen membantu calon BN.

“Paling utama ialah agenda memperkasakan kaum Bumiputera di sana kerana 90 peratus penduduk di Sabah adalah Bumiputera,” katanya.

BN akan mempertaruhkan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin pada PRK ini, manakala Parti Warisan Sabah (WARISAN) pula mencalonkan Ketua Bahagian WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang.

Berita Harian

690