Lapangan Terbang Sandakan Kini Dinaik Taraf

SANDAKAN: Penaiktarafan Lapangan Terbang Sandakan yang dilancarkan hari ini membuktikan janji kerajaan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei lalu bukan sekadar janji kosong.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal berkata, pelancaran projek membesarkan landasan lapangan terbang ini merupakan satu berita baik dan merupakan janji yang dikotakan.

Beliau berkata, pelaksanaan projek sebegini jelas membuktikan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan membuahkan hasil yang baik.

Katanya, kerjasama sebegini akan membolehkan ekonomi negeri ini terus dipertingkatkan.

“Saya yakin Sabah mempunyai potensi untuk membantu melonjakkan ekonomi Malaysia kerana bukan sahaja kita mempunyai keluasan tanah tetapi kita juga kaya dengan sumber alam.

“Kita perlu manfaatkan sumber seperti minyak dan gas serta perikanan yang boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Pecah Tanah Pembesaran Landasan Lapangan Terbang Sandakan, di sini hari ini.

Mohd. Shafie berkata, janji yang dilakukan untuk memperbesarkan landasan di Sandakan ini telah menjadi kenyataan dan ini pastinya berupaya menarik lebih ramai pelancong ke Sandakan.

Penaiktarafan lapangan terbang dengan kos sejumlah RM80.9juta ini melibatkan pemanjangan landasan daripada 2,133 meter kepada 2,500 meter, pembinaan laluan penghubung baharu parkir pesawat ke landasan, memperluas kawasan baik pulih pesawat serta menambah lampu rujukan ketibaan pesawat.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembesaran landasan Lapangan Terbang Sandakan ini adalah hasil titik peluh Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Sandakan.

Beliau berkata, pembesaran landasan itu dilihat akan membantu melonjakkan ekonomi dan kehadiran pelancong di Sandakan.

Menurut beliau, dengan pemanjangan landasan itu, penerbangan antarabangsa seperti dari Korea, Jepun dan Australia boleh terbang terus ke Sandakan.

Katanya, di bawah pentadbiran kerajaan baharu, kemudahan lapangan terbang di negara ini akan ditambah baik agar dalam tempoh lima tahun ini, penerbangan udara dan keselamatan di lapangan terbang jauh lebih baik berbanding dahulu.

“Kementerian Kewangan akan terus menyokong pembangunan di Sabah menerusi peruntukan perbelanjaan yang lebih banyak.

“Selagi saya menjadi Menteri Kewangan, saya akan memastikan peruntukan yang besar terus diberikan kepada Sabah.

“Jika dilihat dalam Belanjawan 2020, Sabah menerima RM5.2 bilion iaitu 17 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan pada tahun ini,” ujarnya.

BorneoToday

683