PRK Kimanis: WARISAN Nafi Berebut Kerusi Dengan BERSATU Sabah

Karim Bujang

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) menafikan khabar angin wujud konflik antara parti itu dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berhubung soal calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Ketua Bahagian WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang, berkata BERSATU sejak awal lagi sudah bersetuju untuk memberi peluang kepada parti yang baharu berusia tiga tahun itu untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan.

“Tidak wujud perbalahan antara WARISAN dan BERSATU kerana mereka sudah bersetuju untuk beri kami bertanding pada pilihan raya kecil ini.

“Mengenai pengumuman calon, ia akan dibuat oleh Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua turut menegaskan khabar angin mengenai perbalahan antara kedua-dua parti itu tidak benar.

Akhbar sebelum ini melaporkan sumber dalam Pakatan Harapan (PH) mendakwa wujud pergeseran antara kedua-dua parti kerana BERSATU Sabah enggan melepaskan kerusi berkenaan biarpun mengeluarkan kenyataan umum yang mengatakan semuanya baik antara kedua-dua parti.

Sumber itu turut mendakwa BERSATU Sabah percaya mereka mempunyai peluang lebih cerah berbanding WARISAN yang menerajui kerajaan negeri.

Bulan lalu, Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan pemimpin dari beberapa komponen parti menandatangani perjanjian untuk membenarkan WARISAN bertanding pada PRK Kimanis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, ketika dihubungi mengekalkan pendirian parti untuk memberi peluang kepada WARISAN bertanding.

Beliau berkata, tidak timbul isu tidak berpuas hati terhadap calon yang akan diletakkan WARISAN.

“Tiada (perbalahan) setahu saya (antara WARISAN dan BERSATU),” katanya.

Berita Harian

1273