Lima Sekeluarga Rentung Dalam Kebakaran Di Tenom

Kebakaran sebuah rumah di Kampung Menara Pamilaan. – Foto ihsan bomba

TENOM: Seorang ibu bersama tiga anak dan seorang lagi anak saudaranya rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Menara Pamilaan, di Tenom, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 tengah malam itu, mangsa yang rentung Khatijah Omar, 35 dan tiga anaknya Sapura Sudirman, 3, Zahid Sudirman, 6, dan Sakirin Sudirman, 9.

Manakala seorang lagi anak saudaranya yang turut ditemui rentung adalah Adira Suhaili berusia 12 tahun.

Difahamkan, dalam insiden itu, suami Khatijah, Sudirman Hajar, 40, turut melecur di kepala dan tangan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.46 tengah malam.

Katanya, sepasukan bomba dari BBP Tenom yang diketuai Zainal Sinsian bersama lima anggota dikerah ke lokasi kejadian menggunakan sebuah jentera.

“Setiba di lokasi, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya dan operasi pemadaman menggunakan dua aliran dan sumber air daripada tangki jentera.

“Terdapat enam mangsa terbabit dalam kebakaran itu dan lima mangsa ditemui rentung oleh pasukan bomba manakala seorang mangsa cedera melecur di kepala dan tangan.

“Mangsa yang melecur sudah dihantar ke Hospital Tenom oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 1.25 pagi dan kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil.

Katanya, pihak Forensik JBPM masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam insiden itu.

Harian Metro

2536