Anak Jati Kota Marudu Wakili Sabah Ke Pertandingan IBF di Kota London

Renno mengenakan pakaian suku kaum Rungus di Kota London.

TAWAU : Anak jati Kota Marudu mewakili negeri Sabah menyertai pertandingan Mr Ambassador di Festival International Borneo Fest (IBS)  yang diadakan di Kota London baru-baru ini.

Festival ini diadakan untuk mengangkat dan mempromosikan budaya Borneo di peringkat antarabangsa sekaligus boleh dijadikan produk pelancongan negeri.

Renno Wesly, 19 tahun yang mewakili Sabah berkata kejayaan mewakili negeri ke peringkat antarabangsa bukanlah kejayaan untuk dirinya sendiri tetapi ianya merupakan kejayaan seluruh warga negeri ini.

“Saya amat bersyukur kerana berpeluang mengetengahkan salah satu budaya negeri ini di peringkat antarabangsa sekaligus memperolehi kejayaan berada di kelompok tiga teratas dalam pertandingan tersebut,” katanya.

Beliau yang mengenakan busana tradisi kaum rungus juga berbangga kerana dapat mempersembahkan baju tradisi suku kaum ibunya kepada masyarakat di Kota London.

“Saya turut terharu kerana dapat menghiburkan masyarakat Kota London dengan nyanyian bahasa Dusun dalam pusingan pertunjukan bakat  dan sangat teruja melihat semua penonton terhibur mendengarnya kerana pertama kali didendangkan di kota ini,” katanya lagi.

Renno mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi program IBF Dr Laurance John, Munica Liwan, Boyd Petrus Pensin  kerana memberi peluang dan sokongan kepadanya untuk menyertai pertandingan berprestij ini.

“Saya berharap akan ada lebih ramai lagi peserta daripada Sabah menyertai IBF yang dianjurkan di peringkat antarabangsa supaya boleh memartabkan budaya-budaya Borneo khas budaya Sabah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, Renno merupakan pemenang Mr Ambassador International Borneo Fest- Sabah Edition 2019, tiga teratas MrAmbassador International Borneo Fest – KL Edition 2019 dan Mr Ambassador International Borneo Fest 2019 – International Level.

Utusan Borneo

1730