
TAWAU: Tindakan sekumpulan individu berkumpul dan membakar lambang Nazi di persisir pantai Kampung Batu Payung, di sini Selasa lalu mengundang kemarahan penduduk kampung berkenaan.
Difahamkan dalam kejadian pada pukul 5 petang itu sekumpulan individu berada di kawasan pesisir pantai tersebut dan bertindak membakar lambang nazi di situ.

Seorang penduduk kampung yang hanya dikenali sebagai Rahmat, 40-an, mengaku datang ke lokasi kejadian bagi meninjau keadaan itu selepas mengetahui aktiviti membakar lambang nazi di lakukan di tepi jalan utama kampung.
“Memang saya sendiri berjumpa dengan mereka bagi bertanyakan tujuan mereka berbuat demikian (melakukan pembakaran) .
“Namun mereka hanya menjelaskan ia upacara keagamaan dan tanda bersyukur mereka,” katanya ketika ditemui.
Bagaimanapun, Rahmat berkata sebaik sahaja upacara keagamaan itu selesai, dia terkejut melihat kesan pembakaran yang menyerupai simbol Nazi.
Sementara itu Redzuan Aziz, 25, yang menyifatkan tindakan kumpulan berkenaan adalah tidak wajar dilakukan di kawasan perkampungan Islam.
“Bukan hendak bersifat perkauman, tetapi tindakan mereka itu salah kerana melakukan upacara keagamaan di kawasan tanah milik persendirian yang beragama Islam.
“Malah mereka tidak meminta kebenaran pemilik tanah sebelum bertindak melakukan upacara keagamaan mereka selain bertindak sewenangnya menutup satu laluan jalan raya sesuka hati,” katanya.
Ketua Kampung Batu Payung, Amat Salleh berkata kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan orang luar untuk berkhelah terutamanya pada cuti umum dan hujung minggu.
“Walaupun tanah itu bertuan (lokasi melakukan pembakaran), pemiliknya tidak pernah melarang orang luar untuk datang ke situ.
“Jadi orang luar perlu sedar akan tindakan yang boleh mereka lakukan terutamanya membabitkan isu agama dan moral,” katanya.
Hasil pemerhatian turut mendapati lambang itu juga menyerupai lambang Swastika, antara kepercayaan masyarakat Budha.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi berkata pihaknya belum menerima maklumat atau aduan polis berkaitan perkara itu.
“Bagaimanapun, saya akan menyemak perkara tersebut,” katanya. – SabahNewsToday