Senarai 15 Sekolah Di Sabah Terlibat Program Sarapan Pagi

KOTA KINABALU: Program Sarapan Pagi (PSP) fasa pertama akan bermula pada 20 Januari depan membabitkan 37,000 murid sekolah rendah dari 100 buah sekolah seluruh negara.

Kementerian Pelajaran dalam satu kenyataan berkata, di Sabah, sebanyak 15 buah sekolah terlibat dalam PSP, iaitu program menyediakan makanan berkhasiat mengikut nilai kalori dan amalan pemakanan seimbang yang diperkenalkan kerajaan.

“Sekolah yang terlibat di Sabah ialah di daerah Telupid, Kudat, Kota Marudu, Tambunan, Semporna, Kinabatangan, Pitas dan Beaufort.

“Turut terlibat daerah Tenom, Kota Kinabalu, Kota Belud, Pensiangan, Ranau, Sandakan dan Tawau,” kata kementerian itu.

Menurut kementerian itu, sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Penangah, SK St. James, SK Tandek, SK Nambayan, SK Kabogan, SK Bukit Garam, SK Pinggan-Pinggan dan SK Binsulok.

Katanya, sekolah lain ialah SK Kuala Tomani, SK Kebagu, SK Kulambai, SK Pekan Nabawan, SK Kundasang, SK Sungai Anib 1 dan SK Umas-Umas.

Kementerian Pendidikan memaklumkan kos pelaksanaan fasa pertama program itu dianggarkan RM22 juta.

Katanya, pelaksanaan PSP fasa pertama akan menggunakan menu makanan berkonsepkan Grab ‘n’ Go yang terdiri daripada menu minuman produk tenusu atau minuman berkhasiat dan makanan ringkas seperti roti, biskut, snek bijirin, kuih, sandwic, buah-buahan atau telur rebus.

“Waktu pelaksanaan PSP adalah antara pukul 7 pagi hingga pukul 8.30 pagi bagi persekolahan sesi pagi dan pukul 1 hingga 4 petang bagi persekolahan sesi petang, mengikut ketetapan pengurusan sekolah.

“Pemilihan 100 sekolah dalam fasa pertama dilaksanakan berdasarkan keutamaan kepada sekolah yang mempunyai peratus tertinggi murid daripada golongan B40 di setiap negeri.

“Ia turut mengambil kira semua jenis sekolah iaitu SK, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya.

Kementerian itu menyatakan pemilihan sekolah juga adalah berkadar dengan jumlah bilangan sekolah yang melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di setiap negeri yang meliputi semua lokasi iaitu bandar, luar bandar dan pedalaman.

“Pelaksanaan ini juga mengambil kira pandangan Kementerian Kesihatan yang sudah memperuntukkan seorang Pegawai Sains Pemakanan bagi setiap daerah untuk memberi khidmat nasihat kepada sekolah berkaitan menu PSP.

“Bagaimanapun, kebenaran ibu bapa diperlukan bagi mendapatkan persetujuan dan maklumat penting kesihatan murid seperti alahan kepada makanan tertentu supaya menu alternatif dapat disediakan,” katanya.

Kementerian Pendidikan juga selepas ini merancang program itu diperluaskan kepada semua 7,776 sekolah rendah untuk manfaat kira-kira 2.7 juta murid di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *