‘Pastikan Kes Polio Di Sabah Kegagalan Terakhir Kita’

Vaksin Polio

Seorang bayi berumur tiga bulan disahkan menghidap penyakit polio di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuaran di Sabah. Ini kes asal pertama di Malaysia sejak 1986.

Kita tidak seharusnya membiarkan anak kita berdepan risiko penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin. Oleh itu, kerajaan digesa mewajibkan pengambilan vaksin di Malaysia.

Tiada pengamal perubatan dapat menyangkal keberkesanan vaksin untuk mengelak kematian dan kecacatan dengan kos yang rendah. Hampir setiap pertubuhan kesihatan percaya vaksin adalah pelaburan terbaik kesihatan awam.

Vaksin berjaya menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi jutaan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan. Tetapi mengapa sehingga kini, kita masih lagi menghadapi kesukaran untuk menyelamatkan anak yang menjadi permata hati kita?

Pada 2019 ini, Samoa dan Tunisia menghadapi penyebaran demam campak, manakala Filipina dan Pakistan menderita akibat wabak polio.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan keraguan terhadap vaksin antara 10 ancaman kesihatan sejagat. Gerakan kumpulan antivaksin kini lebih teratur, menyebabkan ganggu gugat sistem kesihatan kita terutama melalui penyebaran maklumat tanpa asas dan mengelirukan orang ramai melalui media sosial.

Pertarungan ini sudah tiba ke tanah air kita. Program vaksinasi berjadual adalah percuma untuk seluruh rakyat Malaysia dan mengandungi senarai yang disyorkan sejak lahir hingga berusia 15 tahun. Tiada satu pun vaksin diwajibkan untuk diambil walaupun penyakit itu membawa risiko amat berbahaya hingga boleh mengancam nyawa.

Program vaksinasi boleh didorong dengan pemberian insentif khas. Jerman, Perancis, Itali, Singapura dan Amerika Syarikat mewajibkan vaksinasi untuk kemasukan ke taska atau sekolah. Australia pula mewajibkan ibu bapa memberi vaksin kepada anak mereka sebelum layak menerima bantuan kebajikan.

Kita juga boleh mencontohi Jerman yang mengenakan denda EUR2,500 serta larangan ke taska. Cara ini boleh mengelakkan ibu bapa berkemampuan menghantar anak yang tidak divaksinasi ke sekolah swasta atau persendirian.

Indonesia pula membuat bayaran terus kepada ibu bapa bagi setiap anak yang menerima vaksin. Bayaran serupa diberikan di India, Nicaragua, Zimbabwe dan ia terbukti meningkatkan peratusan vaksinasi kanak-kanak di negara berkenaan.

Pengecualian vaksinasi harus diperhalusi dan dikhaskan untuk kes atas alasan perubatan. Pengecualian atas alasan keagamaan dan kepercayaan tidak seharusnya dipertimbangkan seperti di Australia dan California

Kami percaya, langkah mewajibkan vaksinasi harus serentak dengan kempen kesedaran awam melalui media massa, masyarakat sivil dan rakyat di peringkat akar umbi. Kami percaya kerajaan wajar mewajibkan vaksinasi atas sebab berikut:

Pertama, vaksin terbukti berkesan dan mewajibkannya dapat meningkatkan peratusan liputan vaksinasi. Secara ringkas, vaksin merangsang imuniti pramatang kanak-kanak untuk mempertahankan diri daripada penyakit.

Kedua, vaksinasi wajib membolehkan kita mencapai imuniti kelompok melebihi ambang 95 peratus. Sekumpulan kanak-kanak dan individu tidak boleh diberi vaksin atas alasan permasalahan perubatan. Jika lebih ramai orang membuat keputusan tidak memberi vaksin kepada anak mereka, sasaran imuniti kelompok kurang 95 peratus tidak boleh tercapai.

Ketiga, vaksin mengurangkan kos perbelanjaan. Setiap AS$1 dilaburkan untuk program vaksinasi mampu menjimatkan AS$16 kos perbelanjaan perubatan, kehilangan pendapatan dan produktiviti. Kita juga tidak boleh memberi nilai wang ringgit kepada nyawa dan kesengsaraan dialami. Ia pelaburan fiskal yang bijak, lebih-lebih lagi ketika negara dibebani peningkatan hutang kerajaan, belanjawan kesihatan tahunan yang tidak setimpal dan kos perbelanjaan yang kian meningkat.

Keempat, mewajibkan vaksinasi disokong oleh falsafah politik dan lunas undang-undang. Akhirnya, setiap agama dan kepercayaan menyokong vaksinasi untuk kepentingan sejagat.

Deklarasi Dakar 2014 melihat penyatuan cendekiawan Muslim menyokong pemberian vaksinasi. Di Malaysia, terdapat alim ulama berpendapat bahawa pemberian vaksin yang mengandungi kandungan tidak halal dibolehkan jika perlu dan sebagai pilihan terakhir.

Menghapuskan polio di Malaysia terutama di Sabah memerlukan beberapa pendekatan, selain mewajibkan vaksinasi.

Pendekatan ini perlu mengambil kira kesihatan penduduk tanpa kerakyatan, penduduk tidak berdokumen, pendatang asing tanpa izin dan pelarian.

Semua ini memerlukan perbincangan telus dan mendalam mengenai kesan kepada sistem kesihatan negara, hak kemanusiaan, keselamatan dan kedaulatan negara serta geopolitik.

Pengerusi dan Pengasas Medical Mythbusters Malaysia

869