KOTA KINABALU: Polis mengesahkan pesanan suara berantai yang tular di aplikasi media sosial kononnya wujud kegiatan menculik dan membunuh untuk mengambil organ dalaman kanak-kanak di daerah ini sebagai maklumat palsu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji menegaskan bahawa dakwaan pesanan suara yang ditularkan itu sebagai tidak berasas malah tidak bertanggungjawab.
“Kita belum pernah menerima laporan mengenai kes sebegini di Kota Kinabalu dan sepatutnya orang awam menghubungi polis untuk mendapatkan kepastian terlebih dahulu.
“Jangan sesuka hati menularkan (maklumat palsu), lebih-lebih lagi apabila intipati pesanannya boleh menimbulkan kegemparan dan kebimbangan masyarakat,” katanya.
Habibi berkata demikian semasa dihubungi Utusan Borneo di sini, semalam, dan meminta orang awam supaya tidak mudah terpedaya dengan penularan mesej berkenaan.
Ditanya jika pesanan suara itu juga mengandungi mesej palsu serupa seperti yang pernah tular beberapa tahun lepas di negeri ini, beliau berkata perkara itu bukan satu masalah.
“Lebih penting, pesanan suara yang berdurasi selama satu minit 49 saat itu boleh mengundang panik orang awam, khususnya golongan ibu bapa dan penjaga,” katanya.
Beliau berkata penyebaran maklumat palsu sehingga menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam boleh didakwa mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Malah, penggunaan media sosial sebagai medium penularan berita atau maklumat palsu pula boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak lebih RM50,000, atau kedua-duanya sekali.
Utusan Borneo