Pelajar Keningau Harumkan Nama Malaysia Di Thailand

KENINGAU: Seorang pelajar Tingkatan Tiga, di sini, melakar sejarah tersendiri pada peringkat global apabila menjuarai pertandingan peragaan pakaian anjuran Prince & Princess International di Chiang Mai, Thailand.

Farah Ann Beaty mencatat kemenangan berkenaan selepas keputusan rasmi pertandingan yang berlangsung dari 12 hingga 18 November lalu membabitkan peserta daripada beberapa negara itu, diumumkan semalam.

Ibunya, Annie Thien, memberitahu Bernama di sini, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ken Hwa Keningau, menewaskan 58 peserta lain untuk mengungguli anugerah Miss Pre Teen Asia 2019.

Beliau memaklumkan, pertandingan itu dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia, dalam bidang seni serta peragaan pakaian untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Kemenangan Farah Ann itu sekali gus melengkapkan kejayaan ketiga gadis Kadazan Dusun Murut berkenaan di persada dunia dalam bidang seni.

Dua lagi kejayaan diraih pelajar itu sepanjang tahun ini ialah memenangi anugerah The World’s Top Ten Most Potential Star Model Award dan The World Top Ten Most Photogenic Model Award.

Farah Ann adalah anak bongsu daripada lima beradik kepada pasangan Peter Beaty dan Annie Thien. – BERNAMA

9475