LABUAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Persekutuan (WP) Labuan melancarkan operasi mencegah jenayah sempena cuti perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi itu digerakkan menerusi penugasan Op Gelora Khas dari 19 hingga 23 Disember.
“Operasi serupa juga akan diteruskan pada 26 hingga 31 Disember,” katanya, menerusi kenyataan medianya di sini, semalam, berhubung pendekatan PPM WP Labuan.
Pajeri berkata objektif utama operasi itu mencegah jenayah di perairan dan memastikan pergerakan pengangkutan air beroperasi dengan baik dan mematuhi standard ditetapkan.
Ia termasuk pematuhan undang-undang untuk memastikan keselamatan semua pengguna pengangkutan air seperti penumpang feri dan bot berada dalam keadaan terjamin.
“Tumpuan juga akan diberikan terhadap pemeriksaan keadaan feri dan bot supaya mematuhi syarat peraturan lesen yang dikeluarkan Jabatan Laut Malaysia.
“Khususnya, memastikan alat-alat keselamatan di feri dan bot penumpang mencukupi, boleh berfungsi baik dan mengutamakan keselamatan semua penumpang,” katanya.
Mengulas lanjut, penguatkuasaan dan rondaan di laut dipertingkatkan dua kali ganda berbanding kebiasaannya, kerana disyaki aktiviti keluar-masuk migran akan bertambah.