Penumpang Maut, Dua Pemandu Selamat Kereta Bertembung

 Kenderaan sedan ini remuk dan mengalami kerosakan teruk akibat impak kemalangan yang berlaku.

PAPAR: Seorang penumpang kereta maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di KM 19 Jalan Lama Papar-Kota Kinabalu di sini, kira-kira jam 3.45 petang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Papar DSP Batholomew Umpit berkata, mangsa yang juga seorang wanita berada di kerusi belakang penumpang, cedera parah dan maut di lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan sebuah kereta sedan dipandu pemandu lelaki, 20-an, dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu pemandu lelaki, 30-an,” katanya.

Batholomew berkata siasatan awal mengesyaki pertembungan kedua-dua kenderaan itu berlaku semasa kereta sedan terlibat memintas di kawasan selekoh dari arah Papar.

Mengulas lanjut, beliau berkata ketika kereta sedan itu memintas, MPV terbabit pula dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu sebelum kedua-dua kenderaan bertembung.

“Kedua-dua pemandu kenderaan berkenaan mengalami kecederaan dan sudah dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, polis membuka siasatan kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu kenderaan secara melulu dan berbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *