Joli Duit Anak RM6.63 Juta

Apryll Gambar kanan, Anak perempuan Apryll menjadi kurang upaya selepas dilanggar kereta pada 2005. Foto Colorado Springs Police Department & Facebook

WASHINGTON: Seorang wanita tergamak menghabiskan semua wang pampasan AS$1.6 juta (RM6.63 juta) anak perempuannya yang kurang upaya akibat nahas jalan raya, 14 tahun lalu, untuk pelbagai pembelian dan perbelanjaan mewah termasuk kereta serta membesarkan payudara.

Apryll Sardinha dituduh mencuri wang pampasan anak perempuannya yang tidak dinamakan itu selepas ditahan polis El Paso pada Oktober lalu, lapor KKTV.

Menurut laporan Daily Mail, anak Apryll hilang keupayaan berkomunikasi dan cacat mental akibat dilanggar kereta ketika berusia enam tahun pada 2005.

Anak Apryll yang kini berusia 20 tahun itu menerima pampasan AS$1.6 juta untuk membiayai kehidupannya pada 2010 dan hanya wanita terbabit mempunyai akses kepada wang itu.

Apryll diilaporkan meninggalkan anaknya seorang diri dalam rumah tanpa memasangkan alat pemanas ketika melancong mewah ke luar negeri.

Remaja malang itu ditemui selepas seorang ahli keluarga mendapati bil elektrik tertunggak. Perbuatan Apryll kemudian terbongkar selepas polis menyiasatnya atas tuduhan mengabaikan anaknya itu pada 2017.

Berdasarkan dokumen mahkamah, Apryll menghabiskan wang anaknya untuk membeli pelbagai barangan antaranya kenderaan utiliti sukan Land Rover, kereta Mercedes, membelanjakan AS$18,400 (RM76,227) di pusat peranginan Cabo San Lucas serta beberapa ribu dolar lagi di sebuah kedai arak, dan butik Victoria Secret.

Selain itu, Apryll turut membelanjakan AS$360 (RM1,491) di sebuah pusat pembedahan plastik selain membesarkan payudaranya.

Pegawai penyiasat mendapati dia menggunakan pampasan itu untuk membayar bil perkhidmatan televisyen satelit langganan yang mencecah hampir AS$14,000 (RM57,999) dan lebih AS$20,000 (RM82,856) lagi untuk bil elektrik.

Siasatan mendapati Apryll yang dibebaskan dengan jaminan sudah mengeluarkan semua wang pampasan dan disingkirkan sebagai pemegang akaun bank itu tahun lalu. – Agensi

1987