Bot Kastam Dinaiki 5 Anggota Ditembak Berhampiran Pulau Mataking

Gambar Hiasan

SEMPORNA: Sebuah bot milik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)  yang dinaiki lima anggota jabatan itu ditembak sekumpulan individu di kawasan laut berhampiran Pulau Mataking, Semporna pada pukul 5.30 petang tadi.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Difahamkan, sebanyak 50 butir peluru dilepaskan oleh suspek yang menaiki sebuah bot yang kemudiannya hilang selepas melarikan diri ke kawasan perairan Filipina.

Setakat ini, tiada laporan diterima jika ada mana-mana anggota keselamatan itu yang cedera.

Satu laporan polis kemudiannya dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Sabarudin Rahmat ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan polis berhubung kejadian  tersebut.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

12909