Membakut Dijangka Dilanda Banjir Lagi

MEMBAKUT : Beberapa kawasan di Membakut ketika ini telah dinaiki air dan kemungkinan  akan berlaku lagi banjir besar.

Tinjauan Utusan Borneo di beberapa kawasan dalam Membakut menunjukkan ada peningkatan paras air berikutan hujan lebat di kawasan Ulu Membakut.

Keadaan jalan ke Pekan Lama Membakut yang dilimpahi air semasa tinjauan diadakan pada petang kelmarin.

Kawasan yang ketika ini dinaiki air antaranya, jambatan Kampung Baru, Kampung Baitam, Kampung Bambangan, Kampung Sinoko, Sekolah Kebangsaan (SK) Bandau dan Pekan Membakut Lama.

Di Kampung Tahak, air dilihat turut melimpah keluar dari tali air ke jalan raya menyebabkan ia sukar dan berisiko dilalui kenderaan kecil.

Semasa tinjauan Utusan Borneo, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Arifin Arif turut ditemui di beberapa lokasi yang dinaiki air.

Arifin ketika ditemui, meminta orang ramai terutama penduduk kampung yang terlibat banjir sebelum ini supaya berwaspada sepanjang masa kerana paras air ketika ini menunjukkan peningkatan.

Beliau mengingatkan rakyat terutama di kawasan tanah rendah agar mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan untuk berpindah ke Pusat Penempatan Sementara, PPS Selagon jika air berada pada aras bahaya.

Difahamkan, Jabatan Bomba Dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam turut melakukan tinjauan bagi memantau keadaan banjir di sekitar Membakut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *