Bot Kastam Ditembak: Lima Penguatkuasa Kastam Selamat

Hazani Ghazali

SEMPORNA: Kesemua anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disahkan selamat ketika bot mereka ditembak sekumpulan individu di perairan laut berhampiran Pulau Mataking, dekat sini petang tadi. 

Komander Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali berkata penguatkuasa kastam dipercayai sedang menjalankan rondaan sebelum bot mereka ditembak oleh sekumpulan individu yang menaiki sebuah bot laju.

“Lima penguatkuasa kastam yang berada di bot kastam tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua suspek kemudian gagal dikesan selepas mereka bertindak memasuki perairan negara Filipina,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Beliau percaya semua suspek yang menembak bukan kumpulan penculik untuk wang tebusan (KFR) sebaliknya kumpulan penyeludup.

“Bagaimanapun kita masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. Kira-kira 50 butir peluru dilepaskan ke arah bot JKDM itu,” katanya. – SabahNewsToday

1732