KOTA KINABALU: Selang dua hari selepas polis Sabah menumpaskan kumpulan sindiket perjudian atas talian ‘calling centre’ di Penampang, polis berjaya menyerbu sebuah bangunan pejabat di Inanam yang dijadikan sebagai pusat operasi sindiket berkenaan.
Serbuan menerusi Ops Dadu Khas dijalankan sepasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, jam 9.30 malam, 10 Disember lalu.
Hasil serbuan itu, polis memberkas 33 orang iaitu 26 warga China termasuk lima wanita, empat warga tempatan, dan tiga warga Filipina.
Semua suspek berusia antara 14 hingga 52 tahun.
Turut dirampas 20 set komputer, tiga unif peranti pemindahan wang, 208 telefon bimbit jenama Midi dan wang tunai RM20,280.
Selain itu, polis turut merampas satu peket lut sinar disyaki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.67 gram daripada seorang suspek warga tempatan berusia 25 tahun.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, siasatan mendapati sindikat ini dipercayai mula beroperasi di Sabah sejak Oktober lalu.
“Kumpulan sindiket ini dipercayai menjalankan perjudian atas talian dan menjadikan bangunan pejabat empat tingkat di Inanam yang disewa sebagai pusat panggilan bagi aktiviti perjudian atas talian.
“Sindiket ini didalangi oleh warga China ini dan dipercayai beroperasi sejak Oktober lalu dengan mensasarkan rakyat China yang berada di China sebagai pelanggan mereka,” katanya dalam sidang media di IPK Sabah, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji.
Zaini berkata, semua suspek seramai 33 orang termasuk 26 warga China ditahan dalam tiga serbuan di tingkat bawah, tingkat 3 dan tingkat 4 di dalam bangunan berkenaan.
“Seramai 26 warga China ini didapati memiliki dokumen perjalanan namun semua suspek akan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1963 kerana menyalahgunaan pas lawatan sosial.
“Semua tangkapan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (AKTA 289) yang memperuntukan hukuman denda maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas dan penjara tidak lebih tiga tahun,” katanya.
Dalam operasi di Penampang, pada 8 Disember lalu, polis menyerbu tiga unit apartment di Jalan Bundusan, dan menahan seramai 23 individu termasuk empat wanita warga China.
Ketiga-tiga unit aparment ini disyaki digunakan sebagai calling centre atau pusat panggilan bagi aktiviti perjudian atas talian didalangi warga China. -SabahNewsToday