PBS Jangan Hipokrit Dalam Sindrom Penafian

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) diminta agar tidak hipokrit dengan menafikan penglibatan parti itu dalam cadangan mengeluarkan Pas Residen Sementara Sabah (Press) semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, minit mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Warga Asing yang bermesyuarat pada 12 Mei 2015 telah jelas menyatakan penglibatan bekas Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dalam mengeluarkan cadangan mewujudkan kad berkenaan.

Bagaimanapun katanya, BN tidak sempat melaksanakan kad itu kerana tewas dalam pilihan raya umum untuk mentadbir Putrajaya dan Sabah.

“Mesyuarat akhir Jawatankuasa Induk Pengurusan Warga Asing yang bermesyuarat pada 16 Mei 2016 adalah bukti yang menunjukkan bahawa rancangan untuk melaksanakan Press pasti dilaksanakan jika BN masih memerintah Sabah dan masih memerintah di peringkat persekutuan.

“Minit mesyuarat itu jelas menyatakan bahawa pelaksanaan Press perlu dilakukan bagi tujuan mengkoordinasikan dan mengelakkan pemalsuan dokumen Kad Pendaftaran Khas Orang Asing (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Naib Presiden PBS, Daniel Kinsik agar tidak hipokrit dan berada dalam sindrom penafian berhubung isu berkenaan.

Tegas beliau, selepas Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) memerintah, pegawai-pegawai kementerian telah memberikan taklimat dan memohon keputusan dasar kementerian sama ada ingin meneruskan cadangan kerajaan terdahulu atau tidak.

Maka katanya, atas dasar yakin cadangan tersebut adalah baik utk mengkoordinasi tiga dokumen yang dikeluarkan oleh tiga agensi berlainan, walaupun dicadangkan oleh kerajaan terdahulu, namun kerajaan hari ini berbesar hati dan mengetepikan ego untuk meneruskannya demi membersihkan Sabah daripada masalah pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Persoalannya, jika perlaksanaan Press itu tidak baik, mengapa dicadangkan oleh kerajaan terdahulu, adalah wajar persoalan ini ditanya kepada UMNO dan PBS.

“Mohon saudara Daniel beri penjelasan kepada rakyat Sabah dan mungkin beliau boleh memohon bantuan kepada Pairin dan Tan Sri Musa Aman untuk mendapatkan jawapan.

“Minit mesyuarat kerajaan tidak berbohong, apa yang dibincang akan direkod dan jika ada yang tidak setuju juga pasti ada rekodnya tetapi mesyuarat yang dipengerusikan Pairin tidak sama sekali merekodkan bantahan beliau,” tambahnya.

BorneoToday

1340