Lelaki Tanpa Pengenalan Diri Maut Dilanggar Lari

Mayat mangsa tanpa baju dipercayai dilanggar lari.

TAWAU: Seorang lelaki tanpa pengenalan diri berumur lingkungan 30an terbunuh dalam kemalangan jalan raya di KM71 Jalan Tawau-Kunak, Simpang Tun Fuan di sini kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Peter Umbuas berkata mangsa dijumpai dalam keadaan tertiarap tanpa baju di tepi jalan dan dipercayai dilanggar lari.

“Pemeriksaan terhadap mayat tersebut mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian mulut sebelah kanan, calar bahagian perut kanan dan kedua-dua belah kaki,” katanya dalam kenyataan medianya di sini semalam.

Beliau berkata berdasarkan kecederaan yang dialami dan penemuan serpihan kenderaan berhampiran mangsa mendorong polis mengklasifikasikan kemalangan terbabit sebagai kes langgar lari.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besar Tawau dan postmortem akan dimaklumkan oleh pihak doktor yang bertugas,” katanya lagi.

Peter turut mengesahkan pemandu tidak disyaki mabuk dan keadaan cuaca pada kejadian tersebut baik manakala jalan raya juga berkeadaan baik serta bertar kedua-dua hala.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala polis masih menjalankan siasatan dan mengesan saksi bebas kejadian tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *