PRK Kimanis: Sokongan KDM Tidak Berubah

Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony. – Foto Datuk Peter Anthony

PAPAR: Masyarakat Kadazandusun yang mewakili 45 peratus daripada pengundi Parlimen Kimanis dijangka meneruskan sokongan kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang diletakkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Naib Presiden WARISAN, Datuk Peter Anthony, menyatakan keyakinannya mengenai sokongan masyarakat itu terhadap WARISAN tidak berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), tahun lalu.

“Masyarakat Kadazandusun, rata-ratanya seperti pada PRU lalu, sokongan mereka tidak berubah. Mereka menyokong kerajaan pimpinan WARISAN dan mahukan perubahan supaya menikmati sama rata apa yang turut dirasai kaum lain.

“Ia bagi kepentingan generasi akan datang masyarakat itu sendiri,” katanya mengulas sokongan masyarakat Kadazandusun kepada kerajaan pimpinan WARISAN, terutama bagi menghadapi PRK Kimanis.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kadazandusun Murut (KDM) Malaysia ditemui pada Majlis Kesyukuran dan Sambutan Krismas anjuran KDM Malaysia di Kampung Kelatuan, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, Kimanis, di sini.

Parlimen Kimanis merangkumi DUN Bongawan dan DUN Membakut memiliki pengundi majoriti Bumiputera Islam, kebanyakannya masyarakat keturunan Brunei, diikuti pengundi Bumiputera bukan Islam keturunan Kadazandusun.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, bagaimanapun menjelaskan WARISAN akan bekerja keras untuk meyakinkan pengundi Kadazandusun dan pengundi lain supaya menyokong calon yang akan diletakkan parti itu pada PRK berkenaan.

“Kita akan kerja keras dan tunggu pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya ((SPR) dan siapa calon. Kita akan sokong siapa saja calon nanti. Yang penting, ia boleh mengubah kedudukan politik di Kimanis,” katanya.

Setakat ini, WARISAN belum mengumumkan nama calon yang akan dipertaruh pada PRK Kimanis, namun ramai berpendapat calon parti itu pada PRU-14, Datuk Karim Bujang kemungkinan besar dicalonkan semula.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang dikhabarkan akan menyenaraikan beberapa nama dengan didahului Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Pada PRU-14, sokongan masyarakat Kadazandusun yang cenderung ke arah pembangkang, khususnya WARISAN antara punca kerusi DUN Bongawan berjaya dirampas parti itu daripada Barisan Nasional (BN), selain menyebabkan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman hanya menang tipis dengan 156 undi di Parlimen Kimanis.

PRK Kimanis perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya pada Ogos lalu yang memutuskan keputusan PRU-14 kerusi berkenaan tidak sah dan batal kerana didapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan SPR pada Mei lalu, Parlimen Kimanis mempunyai seramai 29,805 pengundi.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *