Petroventure Energy Akan Bina Loji Penapisan Bernilai RM9.5 Bilion Di Sabah

KOTA KINABALU, 13 Dis: Petroventure Energy Sdn Bhd hari ini telah memeterai Perjanjian Dasar Induk (HOA) dengan Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) bagi membina loji penapisan dan penyimpanan petroleum Sabah yang pertama dengan nilai pelaburan sebanyak US$2.3 bilion (RM9.5 bilion).

Presiden dan Pengaran Urusan Petroventure Energy, Mohd Sham Mohd Yassin berkata kemudahan itu akan mempunyai kapasiti simpanan minyak sejumlah 2 juta tan padu manakala loji penapisan akan memiliki kemampuan sebanyak 3.5 juta tan setiap tahun, dengan pengeluaran diesel dan petrol sebagai produk utama. 

“Projek akan memakan masa kira-kira tiga hingga lima tahun.

“Projek ini juga akan membawa manfaat kepada penduduk Sabah dengan mewujudkan lebih daripada 3,000 pekerjaan semasa dalam tempoh pembinaan dan 500 potensi pekerjaan untuk projek yang bersesuaian,” katanya. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga merupakan Menteri Perdagangan dan Industri negeri menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu hari ini. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Geaneve Jane berkata tempat penyimpanan minyak dan loji penapisan akan dibina di Sipitang Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) dan akan membuka jalan bagi kepelbagaian dalam aktiviti hiliran di negeri berkenaan. 

Ekonomi Sabah akan mendapat impak memandangkan produk dari loji penapisan itu akan mewujudkan rantaian bekalan baharu yang akan memanfaatkan banyak perniagaan. 

“Ia juga akan membantu kami mewujudkan lebih banyak peluang kepada usahawan serta pencari kerja,” tambah beliau lagi.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *