PH Sabah Sokong WARISAN Tanding PRK Parlimen Kimanis

KOTA KINABALU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan kepada Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bakal diadakan.

Sokongan tersebut dinyatakan dalam kenyataan media Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang bermesyuarat hari ini.

Kenyataan tersebut ditandatangani Timbalan Ketua Penyelaras Bersatu Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Ketua Penerangan Bersatu Sabah, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Dokumen berkenaan turut ditandatangani pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah negeri termasuk Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew.

“Secara konsesusnya pemimpin PH Sabah dengan kuasa autonomi yang ada bersetuju untuk memberi ruang kepada Warisan untuk meletakkan calon di pilihan raya kecil P.176 Kimanis.

“Keputusan ini adalah berdasarkan kes petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memutuskan agar parti yang bertanding pada pilihan raya ke-14 diberi ruanh untuk bertanding semula.

“Parti komponen PH Sabah akan menyokong dan memastikan kemenangan calon yang diputuskan oleh Warisan. Jentera parti komponen akan diaktifkan untuk membantu calon semasa pilihan raya kecil nanti,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh 16 pemimpin PH Sabah.

Sebelum ini, dua pemimpin Bersatu Sabah iaitu Pengarah Pilihan Rayanya, Datuk Seri Lajim Ukin dan Setiausaha Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee menyatakan hasrat parti itu untuk meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu Ogos lalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman di kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam PRU14, Anifah menewaskan calon Warisan, Datuk Karim Bujang dengan majoriti 156 undi.

Karim bagaimanapun memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan berkenaan yang berjaya dibuktikan di mahkamah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *