Lelaki Warga Asing Ditahan Terbabit Bom Ikan Di Pulau Balambangan

Barangan milik suspek bersama bahan letupan dirampas oleh PPM Kudat untuk siasatan lanjut. -Gambar Ihsan PPM

KUDAT: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang lelaki warga asing kerana disyaki menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan letupan di Tanjung Padang, Pulau Balambangan, di sini kelmarin.

Suspek berusia 40 tahun ditahan anggota PPM Kudat bersama Jabatan Perikanan Kudat dalam Ops Bersepadu yang bermula kira-kira jam 8 pagi.

Suspek yang dipercayai mengebom ikan di sekitar perairan Kudat. – Gambar Ihsan PPM

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata ketika sedang menjalankan pemantauan di sekitar Tanjung Padang, pihaknya mengesyaki seorang lelaki dewasa cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota PPM Kudat.

“Anggota PPM terus mengekori dan lelaki itu ditahan di sebuah rumah di pesisir Tanjung Padang.

“Pemeriksaan ke atas rumah itu menemui detonator yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan di sekitar perairan daerah ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohamad Pajeri berkata sebuah bot pam milik suspek dirampas dan pemeriksaan juga mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Suspek bersama detonator yang dipercayai digunakan untuk mengebom ikan di sekitar perairan Kudat. – Gambar Ihsan PPM

“Hasil rampasan dianggarkan bernilai RM3,094 dan tangkapan serta rampasan di bawa ke Jeti Markas Operasi PPM Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen serta Seksyen 474(1) MSO 1960 kerana kesalahan beroperasi tanpa lesen bot yang sah,” katanya.

SabahNewsToday

557