SANDAKAN: Ekoran melanggar syarat lesen, empat buah bot nelayan yang sedang leka menjalankan aktiviti menunda pukat ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan dalam Ops Gelora berhampiran Tanjung Layar-Layar Laut Tabangka, pagi kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Haji Ali berkata, semasa operasi dijalankan oleh anggota PPM Sandakan menggunakan bot PSC 73 telah melihat kapal tunda terbabit sedang beroperasi menunda pukat di kawasan itu.
“Kira-kira jam 8.30 pagi, pihaknya menahan kapal-kapal nelayan itu pada jarak kapal tunda itu berada pada kedudukan lebih kurang 1.6 hingga 2.3 batu nautika dari daratan.
“Manakala semasa pemeriksaan teliti dijalankan oleh Ketua Bot PPM mendapati lesen perikanan bot nelayan jenis pukat tunda itu hanya dibenarkan beroperasi di luar kawasan 12 Batu Nautika dari pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap tiga orang tempatan dan seorang warga Indonesia dalam bot nelayan itu mendapati mereka adalah pekerja yang sah dan berdaftar.
“Turut ditemui udang yang masih dalam gulung pukat yang dianggarkan seberat 40 kilogram dipercayai hasil daripada kegiatan memukat di kawasan itu,” katanya.
Pajeri berkata sesemua tangkapan dan rampasan dibawa ke pangkalan PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Keseluruhan nilai rampasan yang meliputi harga bot tunda, pukat gulung dan hasil laut adalah dianggarkan bernilai RM90,500,” katanya.
Beliau berkata kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan dan disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen perikanan.
Jika sabit kesalahan, pemilik bot boleh dikenakan kompaun atau denda RM1,000 bagi kesalahan kali pertama dan kapal disita untuk kesalahan berikutnya.
BorneoToday