PGA Beluran Rampas Rokok Seludup Bernilai Lebih Setengah Juta Ringgit

Foto Batalion 20 PGA Beluran

SANDAKAN, 11 Dis: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran merampas 3,618 karton rokok seludup dengan anggaran nilai berjumlah RM666,866, di sini awal pagi tadi.

Pegawai Pemerintah ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata rampasan itu merupakan yang terbesar oleh batalion itu setakat ini.

Foto Batalion 20 PGA Beluran

“Bertindak atas maklumat, pada 12.45 pagi tadi, pegawai integriti Batalion 20 PGA Insp Aris Rais dan anggota daripada Tiger Platoon Batalion 20 PGA telah membuat serbuan di dua buah premis di Jalan Dua dan Jalan Pryer.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan yang dibuat ke atas kedua-dua premis mendapati terdapat sebanyak 1,958 karton rokok seludup pelbagai jenis di premis pertama (Jalan Dua) dan 910 karton rokok seludup pelbagai jenis di premis kedua yang dianggarkan bernilai RM526,766 selepas cukai (bagi kedua-dua premis),” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mohd Nasaruddin, seorang lelaki berumur 28 tahun tanpa dokumen pengenalan diri, yang ditemui di premis kedua, turut ditahan.

Foto Batalion 20 PGA Beluran

Beliau berkata serbuan ke atas dua premis itu berdasarkan maklumat dua lelaki yang ditahan dalam sebuah kenderaan Perodua Myvi di Jalan Buli Sim Sim pada 12.15 pagi tadi.

Suspek berumur lingkungan 20-an dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri telah membawa 750 karton rokok jenama Astro Merah dipercayai diseludup dianggarkan bernilai RM140,100 selepas cukai, katanya.

Mohd Nasaruddin berkata suspek serta rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM20,000, dibawa ke Ibu Pejabat Polis Sandakan untuk siasatan lanjut.

Foto Batalion 20 PGA Beluran

BERNAMA

1587