McDonald’s Rancang Buka 20 Lagi Restoran Di Sabah

SEMPORNA: McDonald’s Malaysia (McDonald’s) merancang untuk membuka 20 restoran baru di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang yang akan menyediakan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

Pengarah Urusannya, Azmir Jaafar berkata, setakat ini, McDonald’s telah mempunyai 15 restoran di Sabah termasuk dua yang terbaru iaitu di Semporna serta Keningau yang akan dibuka secara rasmi bermula esok.

Beliau berkata, kerjasama yang baik diberikan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal memudahkan lagi pelan McDonald’s untuk mengembangkan perniagaan mereka ke negeri ini.

“Di negeri Sabah sahaja kita ada 15 buah restoran, sudah ada 1,500 tenaga kerja rancangan kita untuk lima tahun akan datang untuk membuka 20 buah restoran baru di negeri Sabah menjadikannya dalam 35 ke 40 restoran yang mana kita akan ada dalam 2,500 tenaga kerja di Sabah sahaja.

“Kita telah memberitahu Ketua Menteri, sangat membantu pihak McDonald’s untuk kita membuka lebih banyak cawangan, dipermudahkan daripada segi kita pastikan bila kita buat permohonan untuk pelan dan sebagainya, kita mendapat perhatian yang sepenuhnya tiada ada pelan yang tertangguh,” katanya ketika ditemui Borneo Today di cawangan baru McDonald’s Semporna hari ini.

Terdahulu, perasmian pembukaan restoran itu disempurnakan Mohd. Shafie.

Azmir berkata, tahun ini, McDonald’s melabur sebanyak RM25 juta untuk membuka empat restoran baru di Sabah iaitu di Jalan Bundusan, Penampang; Keningau, Semporna dan Teluk Likas, Kota KInabalu.

Katanya, bagi restoran di Semporna, sebanyak RM7 juta dilaburkan meliputi pembelian tanah dan pembinaan bangunan baharu.

Mengulas tentang Program Kembali Ke Sekolah McDonald’s, Azmir yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Ronald McDonald berkata, lebih 1,900 murid dari 63 sekolah seluruh negeri akan menerima bantuan persekolahan daripada syarikat berkenaan.

Selain itu katanya, McDonald’s juga memperuntukkan dana sebanyak RM622,800 untuk membantu golongan masyarakat kurang bernasib baik di negeri ini melalui Program Komuniti McDonald’s Peringkat Negeri Sabah.

Sementara itu menurutnya, Skim Latihan Dual Nasional (SLDN) yang dilancarkan McDonald’s sejak tiga tahun lalu untuk memberi latihan vokasional kepada golongan belia telah melibatkan sebanyak 30 pelatih dari Sabah.

“Kita memberi latihan selama 18 bulan, semuanya ditanggung McDonald’s setiap pelatih kita belanjakan RM30,000 dan pelatih-pelatih di Sabah contohnya kita akan bekerjasama dengan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk mengenal pasti anak-anak belia miskin bandar dan kampung yang memerlukan bantuan pekerjaan serta latihan.

“Jadi harapan kita supaya anak-anak tersebut mendapat pekerjaan yang baik dan membantu keluarga mereka di masa depan,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *