Remaja Warga Asing Samun Handphone Pelajar Ditahan Di Kampung Pondo, Pulau Gaya

Habibi Majinji

KOTA KINABALU: Acu besi di leher untuk menakutkan mangsa. Itu taktik remaja lelaki yang menyamun pelajar Tingkatan Dua di pusat beli belah, di Kota Kinabalu, 3 Disember lalu.

Bagaimanapun, hasil kecekapan pasukan polis menjalankan siasatan, suspek warga asing berusia 18 tahun itu berjaya ditahan di Kampung Pondo, Pulau Gaya dan merampas semula telefon bimbit yang disamun daripada mangsa, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, berdasarkan siasatan, dalam kejadian 9 malam itu, suspek menyamun seorang remaja berusia 14 tahun di kedai permainan video.

Katanya, mangsa mendakwa diacu menggunakan senjata yang dipercayai pisau sebelum telefon pintar miliknya dirampas suspek.

“Dalam kejadian itu, mangsa dan adiknya cuba mengejar penjenayah itu, namun gagal mengesan suspek ketika berada di tempat letak kereta, di tingkat empat, bangunan pusat beli belah berkenaan.

“Mangsa dan adiknya tidak mengalami sebarang kecederaan dan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM1,000,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, suspek mengaku menggunakan besi sebagai senjata untuk menakutkan mangsa dan sudah membuang baju yang dipakai dan senjata berkenaan ke dalam tong sampah berhampiran pasar Safma, sejurus selepas kejadian.

Katanya, suspek kini ditahan reman sehingga 17 Disember depan untuk siasatan mengikut Seksyen392/397 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Habibi berkata, indeks kes jenayah bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember tahun ini menunjukkan penurunan sebanyak 198 kes bersamaan 14.51 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kes samun tanpa senjata api juga menurun 43 peratus manakala kes sindiket curi turun 32 peratus bersamaan 242 kes berbanding tempoh sama tahun 2018.

“IPD Kota Kinabalu turut berjaya menyelesaikan 923 kes daripada 1,167 kes yang diterima sepanjang tempoh ini.

“Bagi kesalahan narkotik pula, seramai 2,572 tangkapan pesalah dadah berjaya dilakukan tahun ini berbanding 1,987 tangkapan tahun 2018,” katanya.

Harian Metro

1292