PRK Kimanis: WARISAN Belum Bincang Soal Calon

SEMPORNA: Parti Warisan Sabah (WARISAN) belum memuktamadkan siapa calon yang bakal dipertaruhkan parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menjelaskan apa yang lebih penting ketika ini ialah menggerakkan jentera parti bagi mendampingi pengundi.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyempurnakan Perasmian Outlet McD Semporna, ‘Back to School Programme’, Penyerahan Zakat dan Skim Latihan Dalam Industri, di Semporna, hari ini.

“Calon belum kita putuskan, kita akan tentukan bila sampai waktunya. Ketika ini kita semua sedia maklum kawasan di Membakut masih banjir dan fokus kita adalah untuk membantu mereka termasuk menyalurkan bantuan,” katanya.

Ketua Menteri berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perasmian Outlet McD Semporna, ‘Back to School Programme’, Penyerahan Zakat dan Skim Latihan Dalam Industri, di sini hari ini.

Membakut yang dilanda banjir sejak awal pagi tadi adalah satu daripada dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Kimanis, selain DUN Bongawan.

Mohd Shafie bagaimanapun menegaskan, WARISAN tidak mengambil ringan mana-mana PRK, bukan hanya di Kimanis, tetapi juga mana-mana kawasan sekalipun.

Mengambil contoh PRK Sandakan pada Mei lalu, beliau berkata, walaupun bukan calon WARISAN yang bertanding, jentera parti itu tetap digerakkan bagi memastikan kemenangan calon DAP.

“Persoalan mengenai calon atau parti mana yang akan bertanding adalah perkara kedua. Yang menjadi keutamaan adalah calon mesti memberi kemenangan,” katanya.

Beliau juga memberi bayangan bahawa bakal calon mesti seorang yang mudah didekati, selain disenangi rakyat dan boleh menjamin kemenangan.

“Apa guna letak calon jika gagal memberi kemenangan. Kita sudah semestinya akan mengetengahkan calon yang diterima dan boleh berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilaporkan turut berminat meletakkan calonnya mewakili Pakatan Harapan (PH), manakala di pihak pembangkang, UMNO sudah menyuarakan hasrat bertanding.

PRK Kimanis perlu diadakan berikutan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya yang memutuskan keputusan pilihan raya kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen dikemukakan bekas calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi berkenaan.

Semalam, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam kenyataan, memaklumkan Dewan Rakyat sudah menerima surat daripada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun mengenai kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Kimanis.

Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 156 undi.

Beliau memperoleh 11,942 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Karim yang mendapat 11,786 undi dan calon Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Jaafar Ismail yang menerima 1,300 undi.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *