
RANAU: Jalan Kundasang – Ranau dekat Kampung Pinausok, di sini, yang terputus akibat tanah runtuh malam tadi, masih ditutup bagi kerja-kerja pembersihan.
Sehingga kini, kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau bersama syarikat konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd.

Jurutera JKR Ranau, Mac Glen Lojuman ketika dihubungi media berkata jalan berkenaan masih ditutup kepada pengguna kenderaan.
“Pemantauan serta kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian sedang dilakukan.

“Kita juga sedang membuat pemeriksaan dan penambahbaikkan jalan alternatif sebagai laluan utama di Jalan Mohimboyon – Kibbas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Ranau, Ridwan Mohd Taib ketika dihubungi berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

“Laluan alternatif agak curam dan dinasihatkan supaya pengguna kenderaan supaya berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
SabahNewToday