PPM Rampas 13,148 Batang Rokok Tidak Bercukai, Seorang Warga Pakistan Ditahan

Anggota PPM dan Jabatan Kastam menahan warga Pakistan dan merampas rokok tanpa cukai di Pulau Gaya, Kota Kinabalu. – Foto Pasukan Polis Marin

KOTA KINABALU: Seorang penjaga kedai runcit ditahan selepas menemui 13,148 batang rokok tidak bercukai yang disorok di stor, dapur dan di bawa meja kaunter kedai berkenaan di Pulau Gaya, di sini semalam.

Suspek lelaki berusia 27 tahun warga Pakistan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu bersama Jabatan Kastam dalam ‘Operasi Inter Agensi’ kira-kira jam 10 pagi.

Foto Pasukan Polis Marin

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bertindak atas maklumat Unit Risik Marin dan aduan awam, anggota PPM Kota Kinabalu bersama pegawai Jabatan Kastam melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kedai runcit itu menahan penjaga kedai berkenaan selepas menemui sejumlah 13,148 batang rokok yang disorok di bawa meja kaunter kedai, dapur dan stor.

Foto Pasukan Polis Marin

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke pejabat Jabatan Kastam Kota Kinabalu untuk tujuan siasatan,” katanya menerusi kenyataan media.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut merampas telefon bimbit suspek dan satu unit kunci kedai berkenaan.

“Keseluruhan nilai rampasan selepas cukai dianggarkan bernilai RM9,861.

“Operasi bersama ini memberi tumpuan terhadap penyeludupan dan penjualan rokok tidak bercukai di kawasan tanggungjawab,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

SabahNewsToday.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *