‘Dia Juga Doktor Kami…’

Zaiton Abd Hamid (kanan) bersama adik beradik kepada Dr Rumihati Abd Hamid yang meninggal dalam kemalangan di Kaikoura, New Zealand, ketika ditemui di rumah keluarga mereka di Kampung Ulu, Putatan. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

PUTATAN: “Dialah doktor kami dan adik yang paling kami sayang,” kata Zaiton Abd Hamid, 61, salah seorang kakak kepada Allahyarhamah Dr Rumihati.

Zaiton berkata beberapa hari sebelum bercuti ke New Zealand, Rumihati bersama tiga anaknya datang ke rumah dan mengatur borang kesihatan keluarga.

“Kebiasannya kami yang akan mengambil borong jika mahu membuat pemeriksaan kesihatan, tetapi kali ini dia yang bawa borong ke rumah, alasan kerana mahu bercuti.

“Walaupun bukan perkara ganjil, ia bukan kebiasaannya,” katanya ketika ditemui wartawan di rumah keluarga mereka di Kampung Ulu, Putatan, di sini, hari ini.

Tambah Zaiton lagi, dia turut berpesan untuk memaklumkan kepada abang (Othman) supaya membuat pemeriksaan darah.

“Dialah doktor kami dan adik manja yang paling kami sayang,” katanya sebak hingga menitis air mata.

Dr Rumihati, 49, meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan kereta dan trak di Kaikoura, New Zealand, semalam.

Turut terkorban suaminya Adnan Jeman, 49, manakala tiga anaknya berusia antara 11 hingga 15 tahun parah termasuk seorang daripadanya kritikal.

Rumihati bersama keluarga terbang ke New Zealand pada 2 Disember lalu, untuk bercuti.

Zaiton berkata adiknya bersama keluarga selalu bercuti keluar negara pada setiap hujung tahun.

“Saya juga pernah dibawa sekali bercuti sebelum ini ke Jepun dan Beijing… kami sekeluarga amat sedih mengenai khabar ini dan pagi tadi ada sepupu datang maklumkan ada anak mereka meninggal.

“Saya tidak tahu mana satu anak adik saya itu.. bagaimanapun kami masih menunggu laporan penuh daripada abang yang dijangka tiba di Christchurch pagi esok,” katanya.

Terdahulu, portal Polis New Zealand melaporkan tiga individu meninggal dunia akibat kemalangan yang membabitkan kereta dan trak pada jam 3.10 pagi waktu tempatan.

Laporan itu memberitahu, seorang individu kritikal manakala tiga yang lain mengalami kecederaan sederhana dan serius.

Sumber: SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *