ADUN Balung Anjur Khatan Beramai-ramai

Osman menyiram para peserta khatan supaya memberikan kegembiraan sebelum proses khatan diadakan. – Gambar Pejabat Dun Balung

TAWAU: Majlis khatan menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat disamping memenuhi tuntutan agama Islam.

Seramai 60 kanak-kanak terlibat dalam Majlis Khatan Jama’ie yang dianjurkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Rancangan Batu 22 dan Masjid Nurul Huda.

Osman melawat kanak-kanak yang sudah dikhatan. – Gambar Pejabat Adun Balung

Ahli Dewan Undangan Negeri Balung Datuk Osman Jamal berkata, program berkhatan ini sudah menjadi tradisi setiap menjelang cuti sekolah hujung tahun yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada kerajaan, swasta dan pelbagai agensi.

“Kesempatan cuti sekolah diambil pelbagai pihak untuk mengadakan aktiviti ini disamping penganjurannya dimeriahkan dengan menghimpunkan lebih ramai kanak-kanak untuk berkhatan di dalam satu majlis,” katanya.

Gambar Pejabat Dun Balung

Beliau berkata ketika merasmikan program Khatan Jama’ie di Masjid Nurul Huda Kampung Rancangan Batu 22, di sini semalam.

Katanya, program ini merupakan inisiatif DUN Balung membantu ibu bapa memenuhi tuntutan agama mengkhatankan anak lelaki mereka dengan dibiayai sepenuhnya oleh DUN berkenaan.

“Kita mengeluarkan sebanyak RM60 untuk setiap peserta yang menyertai program ini yang dianggap sebagai tanggungjawab sosial DUN Balung,” katanya.

Menurutnya, program ini mengimbau semula nostalgia masa dahulu yang sememangnya diadakan secara beramai-ramai sebelum adanya khatan secara moden seperti hari ini.

“Saya menyambut baik program ini yang mengingatkan kembali ketika masa melalui situasi yang sama dan berpendapat suasana ini sangat menyeronokkan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan,” katanya.

Osman berharap program ini perlu diadakan di setiap kampung kerana dapat mewujudkan suasana kesatuan di antara sesama penduduk.

“Kita mengharapkan lebih ramai agensi, persatuan dan syarikat akan mengadakan program seperti ini dan boleh menjadikannya sebagai tanggungajwab sosial korporat mereka,” katanya.

Utusan Borneo

648