10 Lelaki Ditahan Dalam Operasi ‘Op Ice Breaker’ Di Likas

ANTARA individu yang ditahan untuk pemeriksaan dalam operasi ‘Op Ice Breaker’ di Kampung Likas, di Kota Kinabalu. – Foto Ihsan Polis.

KOTA KINABALU: Seramai 10 lelaki ditahan dalam operasi ‘Op Ice Breaker’ yang dijalankan di kawasan Kampung Likas, semalam.

Operasi bermula jam 11 pagi hingga enam petang itu menumpukan kawasan sekitar yang dikenal pasti sebagai tompok panas kegiatan penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata operasi khas itu dijalankan dengan kekuatan 12 pegawai dan 136 anggota membabitkan pelbagai jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, dalam operasi itu, 101 individu termasuk tiga wanita ditahan untuk pemeriksaan ujian saringan air kencing.

“Hasil daripada ujian itu, 10 lelaki membabitkan tujuh warga tempatan dan tiga warga asing ditahan selepas didapati positif dadah.

“Operasi turut berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar dadah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Khalil berkata polis turut berjaya merampas 9.60 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM1,440 berdasarkan harga pasaran semasa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

Sehubungan itu, kata Mohd Khalil, operasi seumpamanya akan diadakan dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras penyalahgunaan dadah daripada berleluasa.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti jenayah dadah juga diminta menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan segera.

Berita Harian

2267