SESB Siap Sedia Hadapi Taufan Kammuri

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah bersiap sedia menghadapi bencana akibat Taufan Kammuri.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Norhizami Abu Hasan berkata, persiapan rapi telah dilakukan di setiap zon dan daerah dengan ketersediaan pasukan teknikal bersiap-sedia 24 jam untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuklah penyediaan set-set janakuasa bergerak yang akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang strategik.

“Angin kuat atau ribut taufan yang melanda boleh mengakibatkan tiang tumbang dan talian terputus akibat dihempap pokok,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berkata, jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami banjir, bekalan terpaksa diasingkan dan kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan sejurus paras air surut dan selamat untuk bekerja.

SESB juga akan membuka bilik gerakan yang beroperasi 24 jam untuk memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai bekalan elektrik semasa.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir dinasihatkan untuk segera menghubungi SESB di talian 15454, 088-515000, WhatsApp 019- 8525427 atau Facebook SESB Careline.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika premis mereka dinaiki air dan jangan menyentuh alat elektrik atau suis dengan tangan yang basah dan lembab kerana ia boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Taufan Kammuri kini melanda Filipina dan diramal akan menghampiri pesisiran pantai barat Sabah selama tiga hari bermula 5 Disember sehingga 7 Dissember 2019.

Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *