(VIDEO) Pergaduhan Mengunakan Kayu ‘Baseball’, 3 Remaja Ditahan

SANDAKAN: Tiga remaja ditahan dalam satu kejadian pergaduhan melibatkan dua kumpulan remaja yang bersenjatakan kayu besbol di sebuah restoran, di Batu 6, Sandakan, di sini pada Selasa.

Pergaduhan yang berlaku sekitar 11.45 malam itu difahamkan berikutan perselisihan faham antara kedua-dua kumpulan remaja berkenaan sebelum ini.

Dalam kejadian itu, dipercayai sekumpulan remaja yang berusia antara 18 hingga 27 tahun dan bersenjatakan kayu besbol telah bertindak menyerang beberapa remaja lelaki yang sedang minum di restoran tersebut.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin ketika mengesahkan kejadian itu memberitahu bahawa, sebaik menerima maklumat tentang kejadian itu dan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian.

Ia membawa kepada penahanan tiga orang suspek remaja warganegara tempatan dan kayu besbol yang digunakan ketika kejadian turut dirampas.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, di sini hari ini (Rabu).

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan dikejarkan ke Hospital Duchess Of Kent dan menerima lapan jahitan di bahagian kepala.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Mohd Azhar turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu untuk tampil membantu polis bagi memudahkan proses siasatan.

Kesemua remaja yang ditahan akan direman untuk siasatan lanjut.

Sumber : BorneoToday

7576