Kerajaan Sentiasa Terbuka Bantu Badan Keagamaan Bukan Islam

MATUNGGONG: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri sentiasa terbuka membantu memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat termasuk badan-badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.

Beliau berkata, ini terbukti melalui peningkatan peruntukan khas dalam Bajet Negeri 2020 kepada Badan-Badan Keagamaan Bukan Islam termasuk sekolah-sekolah persendirian dan mubaligh.

Ewon bersalaman dengan umat gereka yang hadir pada majlis itu.

“Sebagai seorang Ahli Jemaah Menteri Sabah yang menganuti agama Kristian, saya amat menghargai dan berterima kasih atas kenaikan tambahan peruntukan daripada RM35 juta pada tahun ini kepada RM43 juta pada tahun 2020.

“Penambahan peruntukan itu pastinya akan memberi lebih banyak manfaat kepada gereja-gereja serta rumah-rumah ibadah dan sekolah-sekolah persendirian bukan Islam di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Gereja Prostestan Church of Sabah (PCS) Pekan Matunggong, di perkarangan gereja itu, di sini, pada Selesa.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Fredian Gan, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong Francis Chong, Pemangku Presiden PCS Pdt Justin Sansalu, Pengerusi Penganjur KAN Majial Mongulizang dan para pemimpin masyarakat setempat.

Ewon memalu gong sebagai simbolik perasmian gereja PCS Pekan Matunggong.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, perpaduan dan keharmonian yang dikecapi masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini harus dijaga dan dipelihara agar terus utuh.

“Perpaduan dan keharmonian ini perlu dipelihara agar kita terus menjadi contoh atau model perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk badan-badan keagamaan bukan Islam dan Majlis-Majlis Gereja di negeri ini supaya sama-sama membantu umat gereja di luar bandar yang memerlukan bantuan.

Ewon bersama para pemimpin dan umat gereja PCS menyanyikan lagu Natal.

“Saya telah melawat banyak kampung di luar bandar dan melihat terdapat rumah-rumah ibadat dalam keadaan usang dan daif yang memerlukan perhatian bukan sahaja daripada kerajaan tetapi badan-badan keagamaan untuk sama-sama membantu mereka.

“Tanggungjawab kita (kerajaan) adalah membela semua lapisan masyarakat yang memerlukan bantuan tetapi sekiranya maklumat mengenai masalah yang dihadapi masyarakat luar bandar tidak sampai kepada kita, maka sukar bagi kita untuk menyalurkan sumbangan atau menyelesaikan masalah itu,” katanya.

Sehubungan itu beliau berharap pemimpin akar umbi termasuk pemimpin gereja khususnya di kawasan luar bandar dapat menyalurkan maklumat mengenai masalah yang dihadapi masyarakat luar bandar agar kerajaan atau pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikannya.

Pada majlis itu Ewon bersetuju membantu menyediakan keperluan tambahan Gereja PCS Pekan Matunggong sebanyak RM50,000 menggunakan peruntukan khas menteri pada tahun 2020 untuk penyediaan penghawa dingin dan kerusi gereja itu.

“Sebagai tanda sokongan dan di atas kebertanggungjawaban, saya bersetuju membantu keperluan tambahan gereja ini sebanyak RM50,000. Selain itu saya juga menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi aktiviti-aktiviti kebajikan jemaat gereja sempena sambutan Krismas,” katanya.

Dalam lawatan kerja sehari di Daerah kecil Matunggong, Ewon turut melawat Pusat Keusahawanan Desa Matunggong.

KPLB Sabah membina pusat itu untuk program usahawan luar bandar dan telah menyalurkan peruntukan bagi mengubahsuai bangunan itu sesuai dengan keperluan persijilan produk usahawan terbabit.

Bangunan itu menempatkan Makmal Memproses Produk Kosmetik yang diusahakan oleh Norsiah Ahiddin dan bangunan Kilang Produk Kelapa diusahakan oleh Jooskin Toripon. Mereka adalah antara dua usahawan KPLB Sabah yang berjaya.

Seterusnya Ewon melawat Kampung Naradang bagi memenuhi permintaan kaum ibu di kampung itu yang memohon sebuah bangunan perusahaan desa bagi tenunan sigar dan manik-manik.

Dalam lawatan ringkas itu, Ketua Kampung dan Pengerusi MPKK kampung berkenaan telah mengesahkan tapak yang dicadangkan untuk pembinaan pusat perusahaan desa.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *