Neelofa tidak dapat menahan perasaan hiba dan sedih sewaktu mengumumkan akan mengundurkan diri daripada mengacarakan program MeleTOP yang cukup sinonim dengan dirinya.
Selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment terbitan Astro itu, Lofa memberitahu sepanjang Disember ini adalah bulan terakhir dia bertugas sebagai pengacara di MeleTOP.
Lofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 30, berkata, keputusan itu sangat sukar untuk dibuat memandangkan dia sudah lama dan serasi dengan program berkenaan, tapi dia terpaksa kerana akan terbabit dengan program baru yang dirancang pihak Astro.
Dia turut menangis sewaktu membuat pengumuman menerusi rancangan MeleTOP yang bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria, malam ini.
Neelofa mula mengendalikan program MeleTOP pada 30 Oktober 2012 bersama rakan pengacara juga pelawak popular, Nabil Ahmad.
Pasangan itu bersiaran bersama sebanyak 370 episod dan sepanjang mengendalikan program bual bicara infotainment terbabit, Neelofa dan Nabil dilihat cukup serasi.
Sepanjang mengendalikan MeleTOP, Neelofa dan Nabil mampu menonjolkan karakter dan saling melengkapi dengan kekuatan tersendiri.
Menyentuh mengenai siapa bakal pengganti Neelofa, pihak Astro menjelaskan perkara itu akan diumumkan Januari nanti.
Harian Metro