MIDA Puji Langkah Shafie Permudahkan Pelabur Ke Sabah

TOKYO, JEPUN: Dasar memudahkan kemasukkan pelabur seperti memberikan kelulusan dengan cepat yang dilaksanakan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal adalah antara pemudah cara yang diperlukan oleh setiap pelabur dalam membuat keputusan melabur ke mana-mana negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, dasar tersebut akan memberi imej baik kepada pelabur kerana menunjukkan Sabah bersedia menerima pelaburan untuk mengembangkan ekonomi di negeri itu.

Datuk Azman Mahmud

Katanya, misi pelaburan ke Jepun yang dihadiri sendiri Mohd. Shafie turut meyakinkan lagi pelabur kerana mereka boleh bertanya terus kepada pemimpin berkenaan tentang persoalan yang timbul sebelum membuat sebarang keputusan.

“Saya rasa itu merupakan satu langkah proaktif dan amat bijak kerana Ketua Menteri sendiri berdepan ratusan syarikat dan pelabur untuk memberi penerangan Sabah ini sudah bersedia menerima para pelabur serta salah satu usaha yang begitu strategik adalah mempercepatkan kelulusan di peringkat negeri dan kerajaan tempatan.

“Itulah yang diharap-harapkan oleh pelabur yang mereka mahu diberikan kelulusan secepat mungkin supaya dapat melaksanakan dan tidak merugikan masa, ia juga menyahut seruan Perdana Menteri untuk memastikan segala kelulusan pelaburan dilakukan seberapa segerap yang boleh,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan mesyuarat bersama bakal pelabur di Tokyo, Jepun hari ini.

Azman berkata, secara keseluruhannya, misi pelaburan Kerajaan Sabah bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta agensi di bawahnya berjaya membuka peluang lebih besar kepada setiap peserta terutama Sabah.

Katanya, setiap wakil daripada 500 syarikat yang hadir dalam seminar pelaburan serta program pemadanan perniagaan yang dijalankan di Kobe, Nagoya dan Tokyo menunjukkan minat untuk datang ke Malaysia termasuk Sabah.

“Secara keseluruhannya ia mencapai hasrat MITI, MIDA, Matrade dan Kerajaan Malaysia secara amnya untuk memberikan maklumat terakhir mengenai dasar pelaburan dan iklim pelaburan di Malaysia yang sentiasa rancak,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *