Bersiap Sedia Hadapi PRK Kimanis

Semua ahli dan pimpinan Parti Warisan Sabah (WARISAN) perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis yang bakal diadakan.

Peringatan itu diberikan Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menegaskan biarpun yakin parti akan mendapat sokongan, mereka perlu mendampingi dan merayu setiap pengundi untuk memberi sokongan.

“Kita jangan alpa, (sebaliknya) kita perlu merayu kerana kita perlu mendampingi rakyat, bukan masanya panjang bagi kita untuk merealisasikan apa yang berlaku selama setahun lebih.

“Bukan mudah melaksanakan perkara yang dikehendaki rakyat, namun demikian saya yakin rakyat Sabah mempunyai harapan cukup tinggi kepada kerajaan negeri yang baharu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Tokyo, malam tadi.

Mohd Shafie mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan, semalam yang mengekalkan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mohd Shafie berkata, beliau kini berusaha merealisasikan harapan pengundi di Kimanis yang mahu kerajaan menyelesaikan beberapa isu terutama berkaitan tanah.

“Baru-baru ini, saya membuat lawatan ke tempat itu (Kimanis) dan kita bawa sedikit inisiatif untuk kilang perabot dan beberapa inisiatif Insya-Allah kita akan realisasikan.

“Apa yang penting kita perlu membuat persediaan anggota parti kita khususnya WARISAN dan komponen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, PKR, DAP serta UPKO,” katanya.

Mohd Shafie berkata, beliau juga akan mengadakan mesyuarat bersama semua pimpinan parti kerajaan selepas kembali dari misi pelaburan di Jepun.

Mengenai calon, katanya, nama belum ditentukan kerana beliau perlu mendapatkan laporan daripada pelbagai pihak terlebih dulu.

Bagaimanapun, beliau memberi bayangan kemungkinan WARISAN akan bertanding memandangkan parti meletakkan calon di kerusi itu pada PRU-14.

“Bila kita letak calon, sesuatu yang tidak diingini berlaku dan Alhamdulillah, pihak mahkamah membuat keputusan tepat, tetapi kita perlu merayu kepada pengundi khususnya di Kimanis,” katanya.

Harian Metro

1980