Ahli Warisan Jangan Bermegah, Fokus Beri Kemenangan Pada Parti

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah (Warisan) Loretto S. Padua Jr mengingatkan ahli-ahli parti agar tidak terlalu bermegah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang kekal membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Beliau berkata, keputusan itu bukanlah sesuatu yang perlu dimegah-megahkan kerana perjuangan sebenar akan bermula bagi memastikan rakyat di Kimanis memilih Warisan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis nanti.

LORETTO PADUA

“Ini adalah satu peringatan kepada ahli-ahli parti bahawa sudah tiba masanya untuk kita buktikan bahawa sokongan rakyat terhadap Warisan sejak Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dapat direalisasikan.

“Pemimpin-pemimpin akar umbi juga dinasihatkan agar tidak terlalu yakin dan sambil lewa dengan keputusan ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila rakyat Kimanis memilih Warisan pada PRK Kimanis. Tanggungjawab kita adalah untuk memastikan rakyat Kimanis memilih Warisan.

“Warisan telah lama bersedia untuk menentang sesiapa sahaja Calon pembangkang. Saya yakin, dengan kerjasama yang diberikan daripada semua komponen parti Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), kita tidak ada masalah untuk memenangi kerusi parlimen Kimanis,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Loretto turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada barisan peguam yang telah bertungkus-lumus sejak hari pertama bagi mencabar kemenangan Anifah dalam PRU14 di mahkamah.

Mengenai calon Warisan dalam PRK Kimanis, beliau berkata, biarlah Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal yang memutuskan perkara berkaitan calon.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *