Hantar Pulang Diteruskan Cuma Sukar Bagi Generasi Ke-3 & Ke-4

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri menegaskan kesukaran yang dialami untuk menghantar pulang warga asing Filipina di Sabah adalah daripada golongan generasi ketiga dan keempat yang memegang sijil lahir bukan warganegara.

Timbalan Menterinya, Datuk Azis Jamman berkata, bagi generasi awal pemegang Kad Pendaftaran Khas Warga Asing (IMM13), Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang diberikan Barisan Nasional (BN) serta Parti Bersatu Sabah (PBS) berpuluh tahun lalu, itu tidak mempunyai masalah kerana status mereka sebagai rakyat Filipina dapat dibuktikan.

Sehubungan itu, beliau menyangkal kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Jeffrey Kitingan yang cuba menafikan kesukaran tersebut yang turut dialami kerajaan terdahulu.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Di sini ingin ditegaskan bahawa saya tidak pernah mengatakan yang kerajaan Filipina enggan menerima rakyat mereka yang ditahan  di Sabah atas pelbagai kesalahan Imigresen termasuklah yang tinggal lebih masa setelah tamat tempoh pas lawatan sosial mereka, yang masuk secara haram melalui lorong-lorong tikus atau menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka.

Kerajaan Filipina memang menerima PATI yang benar-benar dapat dibuktikan adalah rakyat negara itu melalui pembuktian dokumen-dokumen pengenalan diri seperti pasport dan dokumen lain yang dikeluarkan oleh kerajaan negara itu.

Bahkan dari Januari hingga 22 November 2019 sahaja,  seramai 5,882 PATI ini telah dihantar pulang selepas dapat dibuktikan bahawa mereka adalah warganegara Filipina dan memiliki dokumen sah yang dikeluarkan oleh Kerajaan Filipina.

Apa yang saya sebut, agak sukar untuk kerajaan Filipina menerima waris kepada pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dilahirkan di Sabah dan merupakan generasi ketiga dan keempat pelarian perang tahun 1970-an.

Mereka ini mempunyai sijil lahir bukan warganegara berwarna merah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ini yang saya maksudkan sukar untuk kerajaan menghantar mereka pulang kerana tiada pembuktian yang mereka ini warganegara Filipina serta Kerajaan Filipina juga tidak mengiktiraf mereka sebagai warganegara.

Justeru, perbincangan di antara kedua-dua negara untuk  menyelesaikan isu ini sentiasa berterusan demi memastikan hak asasi mereka sebagai manusia sentiasa terpelihara.

Oleh itu, Jeffrey tidak sepatutnya cuba memutarbelitkan kenyataan saya dan mempolitikkannya demi meraih kepentingan politik.

Ini adalah isu serius yang harus diberi perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan soal kedaulatan negara.

Suka saya ingatkan Jeffery bahawa IMM13 telah diberhentikan pengeluarannya di Sabah sejak 2013.

Persoalannya, sejak 2013 sehingga Mei 2018 sewaktu kerajaan BN memerintah, kenapa beliau tidak mendesak kerajaan terdahulu menghantar pemegang dokumen-dokumen ini pulang?

Realitinya para pemimpin kerajaan terdahulu mengetahui bahawa menghantar pemegang-pemegang dokumen ini pulanh ke Filipina bukan sesuatu yang mudah.

Penghantaran seseorang individu ke sesuatu negara memerlukan negara yang menerima itu mengeluarkan dokumen Emergency Certificate atau EC kerana tanpa dokumen tersebut negara yang ingin menghantar seperti Malaysia tidak akan dapat berbuat demikian.

Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) serta Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan telah mewarisi masalah yang ditinggalkan kerajaan BN dan kita cuba untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin.

Apakah Jeffrey membangkitkan isu ini adalah semata-mata untuk menyerang kerajaan Warisan bagi menutup kelemahan kerajaan sebelum ini?

Kerana ini sajalah senjata yang ada bagi pembangkang untuk menyerang kerajaan Warisan Sabah.

Kita yakin inisiatif kerajaan negeri Warisan dan PH untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS) mulai Jun 2020, akan dapat mengatasi masalah pelbagai permit warga asing yang terdapat di Sabah.

PSS hanya akan dibenarkan kepada pendatang asing yang memegang dokumen undang-undang berkaitan yang sekali gus berupaya mengekang penyelewengan dan pemalsuan dokumen dalam isu ini.

Melalui pelaksanaan PSS kerajaan akan dapat mengenal pasti mereka yang terbabit memiliki dokumen palsu dan seterusnya membolehkan pihak berkuasa menghantar pulang PATI ini ke negara asal.

Oleh itu, sekali lagi ingin saya tegaskan dan nasihatkan Jeffrey supaya tidak menjadikan isu ini sebagai alat politik semata-mata bertujuan menyerang kerajaan Warisan Sabah dan Kerajaan Persekutuan, kerana ini adalah isu lama yang gagal ditangani BN.

BorneoToday

1515