SANDAKAN: “Saya ada seorang cikgu, namanya Charles Gully dan dia pernah halau saya dari kelas kerana saya tidak pandai Bahasa Inggeris,” katanya tanpa ragu-ragu di hadapan para alumni.
Lalu, bergema hilai dan tawa para tetamu di seluruh pelusok dewan. Sambil tersenyum, dia meneruskan kisahnya ketika menuntut di Government Secondary School (GSS) sejak tahun 1966.
“Tidak apalah, itu adalah pengalaman tetapi saya mahu bagitahu anda semua bahawa ramai dalam kalangan pelajar pada tahun 1966 berjaya menamatkan pelajaran dan sukses dalam bidang masing-masing,” luah Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada Malam Gala Red Carpet (Reunion Ex GSS, SMK & Guru SMK Sandakan 1966 – 2018) di Dewan Kompleks Sukan.
Antara yang mengiringi Tun Juhar, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, Adun Sukau, Datuk Saddi Abdul Rahman, dan mantan pembantu menteri, Datuk Zakaria Edris.
Rakan sekelasnya, Jimrah Jurop, 69, berasal dari Kg Sukau Kinabatangan mengakui mengharungi zaman persekolahan ketika itu memerlukan semangat yang cukup kental kerana perlu beradaptasi dengan silibus pelajaran yang dirangka oleh Kerajaan British.
“Ketika itu Tun Juhar berumur 13 tahun, saya lewat sedikit masuk sekolah. Jadi, dari sekolah rendah Melayu (Darjah 6) kami masuk ke sekolah menengah Inggeris (GSS) pada tahun 1966 dalam kelas peralihan sebelum masuk ke Bridge I.
“Lulus peperiksaan, kami pun menyambung pelajaran ke Bridge II pada tahun 1968, sebelum menamatkan pelajaran di Bridge III atau dalam sistem pendidikan hari ini dipanggil Tingkatan 3.
“Cabaran besar bagi budak kampung seperti kami apabila menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan guru-guru pula semuanya orang putih.
“Saya dengan Tun Juhar sekelas dari Bridge I dan Bridge II, selepas itu saya mengambil peperiksaan persendirian dan bekerja sebagai guru, sementara Tun menyambung persekolahannya di Sabah College Kota Kinabalu hingga Tingkatan 5 (1972).
“Selepas itu, dia melanjutkan pelajaran di peringkat A Level di The Polytechnic, Wolverhampton England sebelum mendapat B.A (Hons) dalam perundangan dan barrister undang-undang di Lincoln’s Inn London.
“Kami memang rapat sejak sekolah lagi, sampai sekarang Tun Juhar gelar saya panglima. Beliau seorang yang lemah lembut tetapi sangat teliti dan konsisten dalam pelajaran dan pekerjaan.
“Di sekolah, Tun Juhar tidak menampakkan minatnya kepada muzik tetapi sewaktu beliau tinggal di Masjid Jamek As-Sheikh Hasbollah At-Tohiri dekat bandar atas bukit tu, dia selalu memetik gitar pada masa lapang bersama rakan-rakan antaranya bekas timbalan menteri, Datuk Railey Jefry,” ujar Panglima yang kini berkhidmat sebagai Imam Rawatib Masjid Datuk Pangeran Galpam.
Seorang lagi rakan sekelas Tun Juhar, Abdullah Awang, 68, merupakan pesara Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah mendedahkan kisah silam mereka yang mengusik jiwanya.
“Guru Bahasa Inggeris kami ketika itu ialah Mr Roger Burr agak garang orangnya dan guru Sains, Mr Charlie. Bila masuk saja dua cikgu ini ke dalam kelas, kami ada nakal sedikit.
“Tetapi satu hal yang saya akui, sahabat saya itu walaupun asalnya budak kampung tetapi dia seorang yang berdisiplin, rendah diri serta kacak orangnya seiring dengan kebijaksanaan dan karismanya sebagai pemimpin, itulah sifat Tun Juhar,” kata Abdullah yang tinggal di Karamunting.
Sementara itu, pengerusi penganjur, Zarina Azis yang ditemui menyatakan majlis reunion yang julung kali diadakan itu mendapat sambutan di luar jangkaan dan jumlah tetamu yang hadir mencecah lebih 500 orang.
Beliau yang juga alumni SMK Sandakan bagi tahun 1983 hingga 1987, walau bagaimanapun memaklumkan persatuan alumni sekolah itu masih dalam peringkat perancangan untuk didaftarkan dan menghimpunkan ahli-ahlinya bermula pada generasi GSS kemudian ditukar nama kepada SMK Sandakan (1970) hingga tahun 2018.
Sumber : Utusan Borneo / Jabatan Penerangan Negeri Sabah