4 Lelaki Memburu Di Hutan Simpan Gunung Rara Ditahan

Empat suspek pemburu haram yang berjaya ditangkap.

TAWAU, 29 Nov: Pasukan Khas Jabatan Perhutanan Sabah (Protect) menahan empat lelaki dipercayai memburu dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Rara, yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Tawau, Rabu lepas.

Kesemua mereka yang terdiri daripada dua warga tempatan serta dua warga asing berumur antara 30 dan 40 tahun ditahan semasa menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda, dan antara yang dirampas daripada mereka adalah selaras senapang buatan sendiri (bakakuk), beberapa butir peluru, serta seekor rusa yang mati ditembak yang diletakkan di ruang belakang kenderaan.

Seekor Rusa yang telah ditembak dalam kenderaan pemburu.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Mashor Jaini berkata kes akan akan disiasat di bawah Enakmen Perlindungan Hidupan Liar 1997 bagi kesalahan memburu binatang tanpa permit sah selain Akta Senjata Api 1960, dan semua yang ditahan telah diserahkan ke balai polis di Tawau untuk siasatan lanjut.

Turut ditemui selaras senjata buatan sendiri (bakakuk) dan beberapa peluru hidup.

Beliau seterusnya menasihatkan agar masyarakat tidak terlibat dengan kegiatan memburu terutama dalam kawasan dilindungi dan menurutnya operasi membanteras kegiatan yang salah dalam kawasan hutan simpan akan dilaksanakan secara berterusan.

“Memburu adalah dilarang dalam kawasan hutan simpan, malah Jabatan Hidupan Liar sendiri pun tidak akan memberikan sebarang permit memburu khazanah negara dalam kawasan hutan simpan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *