Geng Luncai Tumpas Akhirnya…

Habibi dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, pagi tadi. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Selepas lebih sebulan diburu polis, tiga lelaki dan seorang wanita dikenali sebagai ‘Geng Luncai’ yang menjadi dalang samun empat kedai 24 jam di daerah ini dalam tempoh sejam, pada 20 Oktober lalu, akhirnya diberkas polis.

Kumpulan penjenayah berkenaan diberkas selepas salah seorang daripada mereka terbabit dalam kemalangan kereta yang dicuri di daerah Ranau pada jam 1.30 tengah hari, Jumaat lalu.

Pelbagai barangan dirampas daripada suspek. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kumpulan penjenayah berkenaan dikenalpasti terbabit dalam enam kes jenayah samun di ibu negeri dan masing-masing satu di daerah Telupid, Ranau, Papar dan Penampang.

Katanya kes jenayah yang dilakukan adalah pada 20 Oktober lalu apabila kumpulan berkenaan menyamun empat kedai 24 jam dalam tempoh sejam.

Senjata parang dan pelbagai barangan lain yang dirampas susulan penahanan Geng Luncai. Gambar SNT / Junaidi Ladjana

“Dalam kejadian jam 5 pagi itu, semua suspek berusia lingkungan 25 hingga 30 tahun itu menyamun kedai 24 jam di Manggatal sebelum menyamun dua lagi premis di Telipok dan satu di Sepanggar.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis berjaya mengenalpasti suspek yang terbabit dan seterusnya melancarkan operasi memburu mereka,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Habibi berkata, dengan tertangkapnya Geng Luncai ini, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes jenayah samun dan curi kenderaan.

“Polis turut merampas pelbagai barangan termasuk beberapa senjata tajam, sebuah kereta, kad bank dan pakaian yang digunakan ketika melakulan samun pada 20 Oktober lalu.

“Kumpulan terbabit menggunakan modus operandi dengan mengugut mangsa yang terdiri daripada pekerja kedai 24 jam menggunakan minyak petrol dan parang sebelum memecah masuk kedai berkenaan.

“Setakat ini, polis percaya semua kes jenayah yang dilakukan kumpulan berkenaan membabitkan kerugian lebih RM30,000,” katanya.

Menurutnya lagi, hasil siasatan ke atas suspek perempuan yang juga teman wanita kepada suspek berusia 30 tahun dipercayai bertindak sebagai penjual kepada barang hasil samun kumpulan berkenaan.

“Hasil semakan turut mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk dikenakan sekatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA).

“Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *