Sabah Kenal Pasti Tapak Lapangan Terbang Baharu Di Papar

KIMANIS: Kerajaan Sabah telah mengenal pasti kawasan seluas 1,618.7 hektar sebagai tapak pembinaan lapangan terbang baharu di Papar bagi menampung masalah kesesakan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal berkata, pembinaan lapangan terbang itu perlu dibangunkan bagi menampung kesesakan penumpang di KKIA yang kini sudah hampir mencapai kapasiti maksimum.

“Kita tahu dalam perancangan masa hadapan KKIA tidak cukup untuk menampung daripada segi jumlah penumpang yang datang. Kapasiti lapangan terbang ini boleh menampung sehingga 9.5 juta penumpang dan setakat ini sudah pun mencecah 9 juta penumpang.

“Kita dapat melihat kemudahan ini tidak akan mencukupi dan apabila itu berlaku kita perlu ada persediaan pada masa sekarang untuk kita meningkatkan kemudahan ini,” katanya ketika diminta mengulas lanjut mengenai cadangan pembinaan lapangan terbang baharu di Sabah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Terbuka Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) 2019, di Sabah Agro-Industrial Precint (SAIP) Kimanis, di sini hari ini.

Tambahnya, tapak pembinaan lapangan terbang baharu ini adalah kawasan tepi laut yang terletak antara Kinarut dan Papar.

Mohd Shafie berkata, kawasan itu memang bersesuaian untuk membolehkan pembangunan lapangan terbang ini dilaksanakan.

Menurutnya, sekiranya lapangan terbang itu dibina di Kimanis seperti dicadangkan sebelum ini, perbelanjaan yang diperlukan agak banyak kerana ia melibatkan proses pengambilan tanah dan tanah di situ juga agak mendap.

“Bagaimanapun perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk melihat kerangka bersesuaian dan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan.

“Akan tetapi, kita sedar pelancongan merupakan sektor yang perlu kita suburkan kerana ini merupakan salah satu sektor yang boleh menjana hasil negara. Sektor ini juga mampu memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan. Misalnya dalam pembinaan resort bernilai RM400juta di Kuala Penyu yang pastinya membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” jelasnya.

Beliau juga melihat pembinaan lapangan terbang baharu itu sebagai langkah persediaan pembangunan Tanjung Aru Eco Development (TAED) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Katanya, pembangunan yang melibatkan pelabur China itu akan menyaksikan pembangunan pesat di Tanjung Aru dan itu sudah pasti meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Sabah.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *