Polis Rampas 923 Karton Minuman Keras Disembunyi Dalam Bengkel

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian minuman alkohol tanpa cukai yang dirampas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di Kampung Bontoi, Tamparuli. – Foto BHarian/Recqueal Raimi

TUARAN: Seorang peniaga yang berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan untuk menyimpan ratusan karton minuman keras dipercayai diseludup dari luar terbongkar apabila diserbu sepasukan polis, Jumaat lalu.

Serbuan jam 5.30 petang di Kampung Bontoi, Tamparuli di sini, dijalankan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim (tiga dari kiri) menunjukkan sebahagian minuman alkohol tanpa cukai yang dirampas anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, di Kampung Bontoi, Tamparuli. – Foto BHarian/Recqueal Raimi

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata bertindak atas maklumat dan risikan selama seminggu sepasukan polis membuat serbuan ke atas gudang dipercayai menyimpan minuman keras yang diseludup dari luar.

“Hasil serbuan itu menemui dua lori yang berisi pelbagai jenis minuman keras sebanyak 923 karton iaitu 208 tin dan 1,320 botol. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM150,000.

“Dalam serbuan itu juga, turut ditahan seorang lelaki yang bekerja sebagai peniaga,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perhimpunan Bulanan di perkarangan IPD Tuaran, hari ini.

Mohd Hamizi berkata siasatan mendapati gudang itu berselindung di sebalik bengkel membaiki kenderaan untuk dijadikan stor penyimpanan minuman keras sebelum dijual ke kedai-kedai atau individu tertentu.

“Siasatan juga dipercayai gudang itu beroperasi selama hampir sebulan.

“Suspek berusia 32 tahun direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada orang ramai supaya segera menyalurkan maklumat sekirannya mempunyai maklumat berkaitan sindiket penyeludupan minuman keras.

“Polis juga menasihati orang ramai di daerah ini supaya tidak menyembunyikan maklumat dan bersekongkol dengan sindiket penyeludupan minuman keras.

“Sebarang maklumat kejadian jenayah boleh terus menghubungi IPD Tuaran di talian 088-791933, 088-791966 dan 088-791977,” katanya.

SabahNewsToday

1259